Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Belia kali Ke-14

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-14
PADA:
HARI SABTU, 
02 ZULHIJJAH 1440 / 03 OGOS 2019
TEMPAT: 
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur, kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana atas izin-Nya jua dapatlah kita berkumpul menghadiri Perhimpunan Hari Belia kali ke-14 pada pagi ini. 
Di masa akhir-akhir ini, Beta turut berbesar hati atas komitmen tinggi para belia terhadap pembangunan negara. Ini bukan sahaja melalui pelbagai penglibatan dan inisiatif, bahkan juga turut menyumbang secara langsung kepada pembentukan dasar-dasar Kerajaan, seperti melalui Kongres Belia Kebangsaan 2019 dan rebiu Dasar Belia Negara. 
Juga semakin menonjol, para belia sekarang sudah turut meminati bidang pertanian dan agri makanan, sebagai satu pilihan perusahaan. 
Ini sangatlah bagus, kerana bidang pertanian berpotensi untuk dikembangkan, lebih-lebih lagi sesuai dengan keupayaan para belia untuk menggunakan kaedah-kaedah baru, yang dilihat mungkin mudah untuk meningkatkan produktiviti dan sekaligus menembusi pasaran luar negara. 
Para belia berhak untuk menerima ucapan syabas kerana menyahut cabaran menyertai Program Pendedahan Pertanian dan Perladangan berskala besar. 
Beta yakin, ini boleh membawa perubahan signifikan kepada kehidupan kita pada masa kini dan akan datang. Para Belia, dengan didorong oleh kepesatan teknologi, tidak akan berundur ke belakang meninggalkan bidang-bidang yang menjadi favorite, seperti kesenian dan kreatif. Mereka akan terus meneroka pelbagai produk untuk dikembangkan. 
Ini semua adalah pelaburan yang perlu diperkasa. Para belia wajar tampil ke hadapan untuk memainkan peranan. Mereka tidak boleh jumud  (beku), tetapi mustahak untuk aktif dan dinamik sepanjang masa. 
Kerajaan Beta sangat prihatin, supaya para belia jangan hanya duduk-duduk atau asyik berseronok sahaja, tetapi paculah semangat untuk menjiwai usaha-usaha yang berkebajikan. Sebagai contoh dari keprihatinan ini, Kerajaan Beta telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pandu Keusahawanan Belia. Jawatankuasa ini khusus sebagai pemudah cara bagi para belia memulakan perniagaan dan perusahaan, sehingga dengan itu, akan memungkinkan mereka benar-benar berdaya saing membina diri dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan negara. 
Para belia kita tidak lagi terkurung dalam kekosongan, tetapi telah muncul membawa idea-idea baru untuk kehidupan. Maka sehubungan ini, Kerajaan Beta telah mengambil langkah menyediakan beberapa program keusahawanan untuk direbut oleh mereka. 
Pada tahun lepas, kita telahpun menyediakan 60 kontrak, dimana 10 daripadanya telah dianugerahkan kepada pengusaha-pengusaha belia, sedang sasaran kita sehingga akhir tahun 2021 adalah sebanyak 200 kontrak. 
Kita tidak mahu untuk hanya jadi penonton, tetapi yang kita mahu ialah untuk bersaing sehingga ke arena global. Namun persaingan, bukanlah dengan tangan kosong, tetapi dengan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Tanpa ilmu, pengalaman dan kemahiran, tidak akan ada apa-apa yang boleh dihasilkan. 
Beta percaya, para belia kita adalah mampu untuk memenuhi ciri-ciri berilmu, berpengalaman dan berkemahiran. 
Untuk akhirnya, bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-73 tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-73 TAHUN
PADA:
HARI ISNIN, 
12 ZULKAEDAH 1440 / 15 JULAI 2019
TEMPAT: 
BALAI SINGGAHSANA INDERA BUANA
ISTANA NURUL IMAN
BANDAR SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua, dapatlah kita berkumpul bagi sama-sama meraikan Hari Keputeraan Beta pada tahun ini dalam keadaan aman dan sejahtera. 
Beta dengan tulus ikhlas, terlebih dahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para tetamu khas Beta yang sudi hadir ke istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga, bersempena dengan perayaan ini. 
Semua negara tidak terkecuali Brunei, berada dalam zaman yang serba mencabar. Cabaran itu pula adalah pelbagai, perlu dihadapi dengan cara masing-masing. 
Cabaran dalaman bagi negara kita ialah mempastikan bahawa, kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk dapat diwujudkan melalui pelbagai rancangan, seperti rancangan memberikan perkhidmatan yang baik, penyediaan prasarana, yang merangkumi banyak bidang, seperti kesihatan, pendidikan, perundangan, pembangunan, perhubungan dan lain-lain. Semua ini dihasratkan untuk menjamin kehidupan yang berkualiti. 
Kehidupan berkualiti adalah merupakan hak bagi rakyat untuk menikmatinya. Baru-baru ini, Brunei telah menyertai penilaian atau review di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai dengan usaha negara dalam melindungi hak asasi manusia. Dalam perkara ini, kebanyakan Negara Ahli telah memberikan ulasan dan cadangan yang positif terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh negara kita. 
Ini tidak syak lagi, adalah satu pengiktirafan besar, dimana masyarakat antarabangsa menyambut baik usaha-usaha yang telah kita laksanakan, antaranya dalam membasmi kemiskinan dan penyakit, memberikan pendidikan yang berkualiti, menyediakan bekalan air bersih dan selamat untuk diminum, menyediakan tempat tinggal yang selesa, serta mengukuhkan sistem perundangan yang adil dimana perlindungan hak bagi institusi keluarga, wanita, kanak-kanak, belia, warga emas dan orang kelainan upaya sangat dititikberatkan. 
Seiring itu, peluang-peluang perekonomian juga terus direbut, antaranya menjana potensi yang terdapat pada industri kreatif. Industri ini akan dikembangluaskan untuk meraih manfaat berganda, bukan setakat memperkukuh warisan seni budaya, bahkan juga mampu untuk mempelbagaikan bidang ekonomi. 
Potensi ekonomi digital juga perlu diteroka. Lalu ke arah ini, Beta telahpun memperkenankan penubuhan Majlis Ekonomi Digital. Beta difahamkan, satu Plan Induk Ekonomi Digital sedang diungkayahkan, bagi tujuan, untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation. 
Disamping langkah-langkah khusus memperbaiki ekonomi, usaha-usaha pembaikan dan penjagaan kebajikan rakyat juga sedang rancak dilaksanakan, seperti, Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem pusat pangkalan data yang lengkap. Pusat ini akan mengumpulkan semua agensi yang terlibat menyalurkan bantuan kebajikan. Melalui sistem ini, penyaluran bantuan akan lebih menepati sasaran untuk mereka yang benar-benar memerlukan. 
Usaha juga dibuat untuk mengurangkan pergantungan kepada bantuan, melalui program memperkasa penerima bantuan supaya mampu berdikari dan seterusnya keluar daripada kitaran golongan yang memerlukan bantuan. 
Beta teruja dan gembira mengetahui, bahawa taraf hidup di Negara ini adalah meningkat. Menurut Laporan Kajian Perbelanjaan Keluarga Tahun 2015/2016, pendapatan keluarga telah meningkat secara purata sebanyak 4.3 peratus setahun, dalam tempoh lima tahun kebelakangan. Kenaikan juga direkodkan bagi nilai pendapatan bulanan per kapita iaitu sebanyak 26.4 peratus. Faktor penyumbang kepada kenaikan ini termasuklah kenaikan nilai pendapatan sendiri atau self-employment income dari aktiviti-aktiviti perniagaan. 
Walaupun begitu, kita perlu mengakui bahawa masih banyak lagi ruang untuk pembaikan dilakukan. Misalnya, perlaksanaan program-program di bawah Rancangan Kemajuan Negara di semua sekotor, masih perlu dipertingkatkan. Demikian juga Negara memerlukan perlaksanaan undang-undang dan peraturan serta urus tadbir yang cemerlang, terutama berkaitan dengan pengurusan kewangan. 
Agensi-agensi Kerajaan juga dibebankan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan, selaras dengan harapan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik. Sementara Warga Perkhidmatan Awam pula mestilah bersedia untuk memainkan peranan yang berkesan selaku pemudahcara atau fasilitator, bukan hanya sebagai pengawalselia atau regulator. 
Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan dasar hormat menghormati sesama negara tanpa mengira apa jua ideologi. Yang penting, dasar ini memandu kita untuk tidak mencampuri urusan dan kepentingan mana-mana pihak, selaras dengan konsep memelihara dan menghormati kedaulatan masing-masing. Brunei juga akan terus komited, tidak akan menarik diri dari bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani cabaran-cabaran semasa yang utama, seperti isu perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, ancaman keganasan dan ekstremisme. 
Brunei amat berbangga, menjadi sebuah negara ‘mesra alam’ yang tidak pernah mencampuri urusan sesiapapun, sebaliknya hanya konsisten untuk menjalani kehidupan berugama dan beradat resam yang terpuji. Brunei tidak pernah mengabaikan privasi sesiapa jua, kecuali jika nilai-nilai murni tidak dihormati atau diceroboh.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta. 
Penghargaan juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua-dua peringkat, Kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha untuk menjayakan Perayaan ini. 
Beta berdo’a semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal aman dan makmur, dikurniakan oleh Allah, rahmat dan perlindungan yang berkekalan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah 1440H/ 2019M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA
22 SYAWAL 1440H / 27 JUN 2019
BERTEMPAT: 
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dikurniakan kesempatan untuk kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia. 
Kita bersyukur kerana Ramadhan dan ‘Idil Fitri dapat kita hayati dengan sempurna, dalam suasana aman dan selamat. Tidak syak lagi suasana aman dan selamat adalah kurnia teragung daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana itu wajib ia disyukuri. 
Sebagai tanda kita bersyukur ialah dengan melakukan segala amal saleh. Kita membangun juga adalah dengan cara yang betul tanpa melakukan sebarang pelanggaran. Misalnya dalam menjana sektor pertanian, kita tidak akan mengambil tanah rakyat secara paksa atau menggantinya dengan harga yang tidak munasabah. Ini, tidak boleh berlaku di Brunei. 
Beta difahamkan, dalam tempoh 20 tahun dari tahun 1998 hingga 2017, keluaran sektor pertanian, agrimakanan dan perikanan adalah menggalakkan. Perkembangan positif ini memberi petunjuk bahawa peluang bagi mengembangkan sektor ini adalah terbuka luas. Lebih-lebih lagi dengan keadaan geografi negara menerima hujan, cuaca yang mengizinkan dan tanah-tanah yang masih belum diteroka. Tinggal saja lagi ialah usaha dan komitmen kita untuk memajukan sektor ini. 
Beta gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para petani, peniaga, pengusaha dan termasuk para belia dan pelajar yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian. Mereka ini memikul peranan penting dalam mengembangmajukan sektor ini di Negara Brunei Darussalam. 
Beta juga mengalu-alukan konsep mempertemukan para pengeluar dan pengusaha hasil pertanian dengan peniaga (perusahaan dan supermarket). Ini boleh membantu memasarkan hasil pertanian dengan lebih berkesan. 
Cara ini juga menambahluaskan pasaran pertanian, bukan sahaja pasaran dalam negeri malahan juga akses ke luar negara. Beta mengambil maklum inisiatif seperti Contract Farming dan Business-matching sedang digiatkan bagi mempermudahkan lagi akses pasaran tersebut. 
Beta sangatlah menghargai kerjasama seperti ini, dan berharap, lebih banyak lagi pasaraya-pasaraya tempatan termasuk pihak pemborong, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering akan melibatkan diri sebagai sokongan kepada Kerajaan. 
Disamping terus meningkatkan sektor pertanian, produktiviti, penggunaan teknologi tinggi dan menyediakan ekosistem yang teratur, satu elemen penting yang mesti diberi perhatian juga ialah sumber tenaga manusia. Maka ke arah ini, Beta menyeru para belia untuk tampil sebagai tenaga utama dalam industri pertanian negara. 
Kerajaan Beta telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pertumbuhan sektor ini. Contohnya, melalui Kementerian berkenaan, Beta telah memperkenankan satu inisiatif yang digelar Projek Rintis, yang merangkumi penawaran tapak secara rintis untuk percubaan. Projek ini memberi peluang kepada rakyat, terutama para belia dan penduduk untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan ataupun penternakan. 
Setakat ini, dalam tempoh 2 tahun Projek Rintis diperkenalkan, seramai 46 pengusaha telah ditawarkan tapak rintis yang melibatkan hampir 300 hektar tanah pertanian. Seramai 16 pengusaha muda telah tampil merebut peluang yang disediakan ini. Syabas dan tahniah kepada mereka itu. 
Orang Brunei biarlah lebih sibok membangun dari sibok yang lain-lain. Sibok membangun adalah amal saleh, mendatangkan pahala, berbanding dengan sibok perkara sia-sia boleh mengundang kepada dosa. 
Kita teruskan menjana ekonomi untuk dinikmati oleh semua, bukan dibolot oleh satu pihak, sedang di pihak lain hidup menderita. Contohnya, beberapa pihak yang mendakwa maju dan kaya, sedang masih ramai rakyat yang hidup sengsara, termasuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal. 
Di Brunei, kita juga meneruskan kelangsungan hidup berperlembagaan dan berundang-undang, di mana semua hak adalah terpelihara dan dihormati, bukan seperti tukang jaja retorik yang menjaja atas nama ‘hak asasi manusia’, sedang dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri terhadap penindasan dan pembunuhan sewenang-wenangnya. 
Ini bukan Brunei. Budaya Brunei tidak bermain  retorik, tetapi semata-mata mengutamakan dan mengagungkan ‘kebenaran’, kerana kebenaran itulah nilai tertinggi lagi suci. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersejata Diraja Brunei yang ke-58 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI 
YANG KE-58 
BETEMPAT
KEMENTERIAN PERTAHANAN, 
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
BOLKIAH GARISON, 
NEGARA BRUNEI DARUSSLAM
PADA
HARI AHAD, 
26 SYAWAL 1440 / 30 JUN 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur, kerana dapat sama-sama berhimpun pada pagi ini, untuk memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke-58 Tahun. Perhimpunan alhamdulillah, berlangsung dalam suasana aman dan meriah. 
Keamanan adalah nikmat besar dari Allah, yang dengannya, membolehkan kita membangun dengan selesa. Adapun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah merupakan tonggak utama bagi keamanan. Kita amat beruntung dikurniakan keamanan, dimana tanpa keamanan, semua usaha pembangunan sukar untuk dilaksanakan. Dan dengan adanya pembangunan pula, kenikmatan hidup pun dapat dirasai. Namun kita mesti sedar, bahawa kenikmatan itu, janganlah ia melalaikan kita, demi mengingat, bahawa ancaman-ancaman global adalah dinamik, cepat dan merentas sempadan. 
Di antara ancaman-ancaman tersebut, termasuk pemesongan ideologi kepada radicalisme, keselamatan maritim dan siber, kegiatan-kegiatan penyeludupan dan seumpamanya. Semua ini adalah cabaran-cabaran berat untuk dihadapi. 
Dari itu, tahap kewaspadaan kita perlu ditingkatkan dari masa ke semasa. Ia mustahak konsisten tanpa ada titik noktahnya. Tidak diragukan lagi, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah pemegang utama peranan itu di sini. 
Dalam usaha Diplomasi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah membuktikan inisiatifnya yang cemerlang melalui penglibatan di arena antarabangsa, meliputi penglibatan-penglibatan di Internasional Monitoring Team (IMT) di Mindanao, Selatan Filipina, di United Nation Interim Forces in Lebonan (UNIFIL) dan di Independent Decommissioning Body (IDB) di Mindanao, Filipina. Ini semua memberi image baik, bukan sahaja kepada ABDB malahan juga kepada Negara. 
Apa jua penglibatan adalah ia sumbangan signifikan dan testimoni komitmen Negara terhadap keselamatan serantau dan sejagat. Ia mustahak diteruskan selagi diperlukan. 
Namun ini saja tidaklah memadai, tanpa adanya strategi pertahanan yang menyeluruh untuk menangani segala macam ancaman kontemporari. Kerana itu, mengenai pengemaskinian Kertas Putih Pertahanan, Beta menyarankan, supaya ianya disejajarkan dengan pelan strategik negara dan penggunaan kaedah Whole of Government Approach, untuk perkembangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dapat dirancang secara holistik bagi mengurangkan jurang keupayaan mengikut keutamaan. Perancangan sedemikian ini diharapkan dapat menghasilkan keselamatan negara secara menyeluruh tanpa kompromi. 
Beta juga berharap melalui pengemaskinian Defence Science and Technology Policy Framework akan dapat menghasilkan pula bakat-bakat innovasi yang sedia ada di kalangan para anggota ABDB. 
Namun dalam pada itu, perlu juga diingat, kejayaan tidak akan dapat dicapai hanya dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi kekuatan sebenar turut bertunjang pada sifat-sifat dalaman, seperti setia, ikhlas, amanah dan berani. Apabila ada sifat-sifat ini, nescaya kejadian-kejadian pelanggaran tidak akan berlaku, khasnya pelanggaran sekuriti. Semua orang mesti tahu, bahawa pelanggaran sekuriti boleh menggugat keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Maka kerana itu, inilah pentingnya mengamalkan etika kerja jujur, setia dan amanah itu. 
Akhir kata, dengan segala usaha dan ikhtiar, kita juga berdoa, semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberkati Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. 
Di kesempatan ini juga, Beta mengucapkan tahniah kepada semua warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sama ada mereka yang berada di dalam atau di luar negara, yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara. Tahniah khusus pula kepada mereka yang menyertai perbarisan pada pagi ini, yang mencerminkan ketangkasan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang menjadi lambang kebanggaan kita. Ucapan Tahniah dan syabas juga tidak dilupakan untuk Jawatankuasa dan malah semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-58 Tahun ini. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Fitri Tahun 1440H/2019M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1440H / 2019M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen,
Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammaddin,
Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een,
Waba’du.
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 
Hari ini adalah hari bahagia, hari menyambut kemenangan bagi umat Islam, setelah berjaya melalui ujian berpuasa selama sebulan. 
Ibadat puasa tidak syak lagi adalah satu ujian berat. Kerana itu, barangsiapa yang berjaya menempuhnya, dinamakan dia orang yang sabar, dimana kesabaran itulah yang menjadi punca segala kejayaan. 
Begitulah sunnah atau peraturan Allah sentiasa menguji kita, bagi tujuan untuk melihat, sejauh manakah kemampuan kita bersabar, sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 155, tafsirnya: 
“Demi sesungguhnya, Kami (Allah) akan menguji kamu dengan perasaan takut (terhadap musuh) dan (dengan) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta dan jiwa serta hasil tanaman, dan (maka) berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Ayat ini menurut ulama turut merujuk kepada segala pekerjaan-pekerjaan besar yang dituntut kita melakukannya, seperti menegakkan Ugama Allah dan undang-undangNya, semua itu memerlukan kesabaran. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Mengapa perlu bersabar? Kerana di sinilah ujian Allah itu berlaku: Ujian secara psikologi dan secara fizikal. 
Ujian psikologi ialah seperti timbul perasaan takut terhadap musuh. Sementara ujian fizikal pula ialah, seperti takut lapar, takut ekonomi runtuh, takut jiwa terancam dan seumpamanya. 
Ini semua adalah ujian Allah keatas orang-orang yang beriman. Namun di akhir Ayat, Allah memberi jaminan : Jika kita bersabar dan tabah menghadapi semua ujian itu, maka berita gembira adalah menunggu kita. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Kita tidaklah keberatan untuk merendah diri, dengan saiz kita yang kecil. Namun walau kecil, di sisi Allah, kita belum tentu kecil, kerana Allah mungkin menilai kita lebih besar, kerana kita sentiasa membesarkanNya. Lidah kita sentiasa basah dengan kalimat: “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar).
Adalah menjadi lumrah dunia, sesiapa yang kecil di mata manusia, akan mudah saja menjadi mangsa buli. Ini, telah dan sedang berlaku di mana-mana saja. 
Jika perkara ini turut berlaku keatas kita, maka seeloknya kita mengambil sikap sabar, sambil konsisten memegang kuat ‘Tali Allah’ atau UgamaNya dan mengelakkan perpecahan sesama kita, sebagaimana Allah menggesa di dalam Surah Al-‘Imran, Ayat 103, tafsirnya: 
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada Tali Allah (Ugama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.”
Lebih-lebih lagi perpaduan itu diperlukan ialah, ketika kita mengalami pelbagai ujian. Lagi besar atau berat ujian, lagi bertambah penting perpaduan itu. 
Dengan perpaduan, segala kepentingan akan terpelihara, dan benteng kita juga akan bertambah kukuh, untuk menolak segala bentuk fitnah atau probokasi yang datang dari mana saja. 
Tugas utama kita ialah, untuk membuktikan, bahawa Brunei Darussalam adalah sebuah negara moden lagi bertamadun. Buminya indah permai, aman dan menyeronokkan, bukan menakutkan. Rakyat hidup bersatu padu, bahagia dan harmoni tanpa sebarang pertelingkahan. Ia dikawal oleh undang-undang yang adil, dengan semua hak siapa saja, dijaga dan ditunaikan, sehingga, tiada sesiapapun individu yang teraniaya. 
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta sukacita mengambil peluang mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya ‘Idil Fitri kepada sekalian rakyat dan penduduk di mana saja mereka berada. Semoga sambutan pada tahun ini disambut dalam suasana lebih meriah dan penuh kegembiraan. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN
1440 HIJRIAH / 2019 MASIHI
BERTEMPAT DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS
17 RAMADHAN 1440 / 22 MEI 2019
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulilah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua dapatlah kita hadhir di majlis memperingati Peristiwa Nuzul Al-Qur’an yang penuh berkat ini.
Peristiwa Nuzul Al-Qur’an berlaku pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira’. Dan peristiwa inilah yang kita sambut, malah oleh seluruh umat Islam di serata dunia.
Al-Qur’an adalah sumber hidayah untuk kita memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa jua yang terkandung dalam Al-Qur’an, adalah ia petunjuk ketuhanan untuk dipakai. Barang siapa yang mengikut atau memakainya, itulah orang-orang yang berjaya.
Pada awal surah Al-Baqarah, Al-Qur’an disifatkan sebagai kitab daripada Allah yang tidak terdapat padanya sebarang keraguan, dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Barangsiapa yang benar-benar beriman dengan Al-Qur’an, Allah menjamin, mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Begitulah hakikat Al-Qur’an, semakin ia dibaca, semakin banyak hikmah atau pengajaran yang diperolehi. Semua kita maklum, ayat pertama yang diturunkan adalah mengenai pembelajaran dan pembacaan Al-Qur’an itu, iaitu satu isyarat bahawa Al-Qur’an adalah sumber segala ilmu pengetahuan.
Kita tidak akan sesat selagi mana berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kerana Al-Qur’an adalah mukjizat agung yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk menjadi pemandu jalan, khasnya di zaman mutakhir yang penuh liku dan cabaran ini.
Diantara cabaran yang membebani kita, terdapat satu trend, orang suka bercakap atau berteori perkara-perkara yang bertentangan dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits.
Mengenai mimpikan Nabi atau berjumpa dengan Nabi dalam mimpi adalah perkara benar, kerana syaitan tidak dapat menyerupai Nabi. Namun para ulama ada yang melarang atau tidak menggalakkan untuk menceritakan mimpi itu kepada umum. Kerana mimpikan Nabi adalah perkara besar dan sulit, tidak wajar ia untuk dijaja.
Di samping itu, perlu juga dinilai siapa yang bermimpi, apa latar belakangnya dan apa isi mimpinya itu. Kerana cerita boleh saja direka-reka, seperti Nabi berkirim salam kepada ramai orang, yang memberi gambaran betapa hebatnya ingatan orang yang bermimpi, sehingga mampu mengingat satu persatu nama-nama yang diminta untuk disampaikan salam itu.
Juga turut mustahak diperhatikan ialah isi mimpi, jika ianya bercanggah dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits, seperti baru-baru ini ada orang yang membawa cerita mimpikan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, konon-kononnya Baginda itu memberitahu, bahawa yang mula-mula sekali masuk Syurga ialah umat Baginda. Kemudian baru Baginda sendiri.
Sedangkan menurut hadits sendiri, tiada siapapun yang mula-mula dibukakan pintu Syurga, melainkan hanya Nabi, dalam makna, Bagindalah orang pertama yang mula-mula sekali memasuki Syurga, sebelum lagi orang lain.
Tetapi walaupun kedudukan hadits ini sudah dijelaskan, namun masih ada juga pihak yang terus berdegil untuk membenarkan mimpi tersebut. Inilah yang Beta maksudkan sebagai cabaran yang membebani itu
Sebagai langkah mengatasi perkara seumpama ini, Beta meminta kepada pihak berkenaan yang menjalankan kuasa dibawah akta Permohonan Tauliah Kebenaran Mengajar  Al-Qur’an / Ugama / Berceramah Ugama, Majlis Ugama Islam Brunei, supaya berhati-hati dalam memberikan sebarang kebenaran.
Sepatutnya, kalau benar seseorang itu memiliki ilmu ugama yang mantap, maka sudah barang tentu dia akan lebih sensitif dengan amaran Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa yang senghaja berdusta atas nama Baginda, maka siaplah tempatnya di dalam Neraka” (Hadits riwayat Al-Bukhari).
Inilah makanya Beta mahu, supaya Pelajaran Ugama dan Al-Qur’an itu dikuatkan disemua sekolah, bukan sahaja di Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab, malah juga di Sekolah-Sekolah Menengah, di bawah Kementerian Pendidikan dan juga Swasta.
Beta sangat berhasrat, rakyat di negara ini mendapat pendidikan ugama yang betul, yang tidak menyimpang daripada Al-Qur’an dan Al-Hadits, supaya negara benar-benar beroleh keberkatan dan rahmat daripada Allah.
Beta yakin, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan telahpun melangkah ke arah merancang satu kurikulum pengajaran Al-Qur’an dan Ugama di Sekolah-Sekolah Menengah dan juga Swasta, di mana salah satu yang turut menjadi keutamaan ialah pelajaran ‘Sejarah Islam’.
Adapun skop pelajaran Sejarah Islam itu amatlah luas, meliputi Al-Qur’an dan Al-Hadits. Bukankah apa-apa jua yang telah dikhabarkan berlaku dalam Al-Qur’an atau Al-Hadits itu sejarah?
Maka kerana itu, Beta, sangatlah berhajat untuk melihat perkara ini direalisasikan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.