TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI  YANG KE 65

PADA HARI AHAD

14 ZULHIJJAH 1447 / 31 MEI 2026

 

BERTEMPAT DI PADANG KAWAD TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI PENGKALAN TENTERA UDARA, RIMBA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir pada pagi ini untuk meraikan Upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke Enam Puluh Lima (65) Tahun.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas Beta ucapkan, di atas perbarisan yang sangat bermutu sebentar tadi.

Alhamdulillah, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah banyak mencapai perkembangannya, baik dari segi saiz organisasi mahupun dari segi keupayaannya.

Sehubungan itu, Beta mengambil maklum mengenai pelancaran Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini. Ia adalah satu langkah strategik yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan perancangan pertahanan negara terus disesuaikan dengan perkembangan geopolitik serantau dan global.

Selaras dengan hala tuju strategik yang digariskan melalui Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 dan Gagasan Angkatan 2035 yang didokong oleh dokumen penting: Force Structure Review, Defence Posture dan Capability Development Plan, Beta gembira mengambil maklum bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang dengan tertubuhnya beberapa unit baharu yang akan meningkatkan lagi kewibawaan dan keupayaan ABDB. Bagi Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Beta telah memperkenankan penubuhan Pusat Latihan Gabungan Tempur (PULGAT) yang menggabungkan kesemua cawangan latihan bagi kompetensi operasi TDDB di bawah satu pemerintahan.

Dalam memperkukuhkan lagi interoperabiliti, di peringkat Operasi Khas Bersama yang bersejarah, Beta sukacita memperkenankan penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command) sebagai Pusat Perintah dan Kawalan yang akan menyelaras operasi khas di antara Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB selaku Pasukan Tier 1 bersama Pasukan Khas Tier 2 di unit-unit ABDB iaitu Pasukan Komando – Tentera Darat Diraja Brunei, Skuadron Geras Khas Maritim – Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Khas – Tentera Udara Diraja Brunei yang akan berkuatkuasa mulai pada hari ini.

Selaras dengan pendekatan pertahanan yang komprehensif, dari sudut Diplomasi Pertahanan, pada tahun ini yang amat signifikan dengan sambutan Jubli Emas ialah hubungan pertahanan di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Bersenjata Republik Singapura. Dalam hal ini, Beta sukacita mengambil maklum beberapa aktiviti dua hala telah dan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama Angkatan Bersenjata Republik Singapura sebagai acara kemuncak. Pada masa yang sama juga, hubungan pertahanan dengan negara-negara sahabat yang lain, baik yang dekat mahupun jauh, Beta terus menyarankan untuk sentiasa dipertingkatkan dan diperkukuhkan.

Dari Sudut keupayaan ini ketenteraan pula, baru-baru ini Tentera Udara Diraja Brunei telah menerima dua (02) buah pesawat angkut C295MW terakhir yang melengkapkan penerimaan sebanyak empat (04) buah pesawat angkut, bertepatan dengan menjelangnya sambutan Jubli Intan Penubuhan Tentera Udara Diraja Brunei pada bulan Jun tahun ini. Seterusnya pada penghujung tahun ini, TUDB juga akan menerima batch pertama helikopter H-145M yang akan menggantikan pesawat Bolkow BO-105 yang telah dinyahtauliahkan. Manakala pada awal tahun depan, Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dijangka akan menauliahkan sistem Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance (C4 – ISR) yang ketika ini sedang giat dinaiktaraf.

Segala pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya dedikasi dan komitmen tinggi di seluruh peringkat kepimpinan. Beta menghargai dan berbangga di atas pencapaian-pencapaian positif ini.

Dalam hubungan ini, Beta juga sangat gembira atas kehadiran dan keterlibatan anggota Veteran dan Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) pada pagi ini yang setentunya menunjukkan semangat dan komitmen berterusan mendokong ABDB ke arah kecemerlangan.

Akhirnya, Beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-65 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara, sama ada berada di dalam atau sedang bertugas di luar negara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini dan semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pagi ini. Beta turut mendo’akan supaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

***