Titah KDYMM Bersempena Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke Tujuh
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
SEMPENA ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI
MESYUARAT PERTAMA DARI PERMESYUARATAN KE-14
MAJLIS MESYUARAT NEGARA
PADA
HARI ISNIN
17HB. JAMADILAKHIR 1439
05HB MAC 2018
BERTEMPAT
BANGUNAN DEWAN MAJLIS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Beta berharap majlis akan dapat bersidang dengan ahli-ahli semua dapat mengemukakan buah fikiran serta seterusnya mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan-perubahan besar kepada negara.
Di mana-mana sahaja terdapat kecenderungan orang bercakap mengenai ekonomi. Maka kita pun demikian juga sangat mengambil berat bidang ekonomi itu.
Sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam perlu terus aktif mempelbagaikan ekonominya. Ini adalah wajar, berdasarkan harga minyak dunia sering sahaja dilihat tidak menentu.
Walaupun permintaan global meningkat dan harga minyak mulai pulih pada kadar yang menggalakkan, namun pertumbuhan ekonomi tetap sahaja diramal masih berada pada paras yang rendah.
Lalu kerana itu, kita tetap perlu untuk terus mengawal imbangan fiskal negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
Tetapi ini sahaja tidak memadai. Langkah berjimat memang baik dan terpuji, tetapi semata-mata berjimat tanpa ada usaha ke arah pertumbuhan adalah salah satu sikap yang tidak diterima. Di samping berjimat, kita juga mesti menggembleng tenaga bagi pertumbuhan secara besar-besaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Brunei perlu meneroka bidang yang tidak dapat diabaikan lagi. Pastikan ianya ditangani dengan berkesan sehingga berhasil. Beta sudah pun menyebut berkali-kali bidang pertanian. Bidang ini sangatlah mendesak untuk digerakkan. Bukan bergerak ikut mood, tetapi bergerak demi keperluan. Negara adalah sangat-sangat memerlukan.
Sudah sampai masanya untuk Brunei berdikari dalam pemakanannya, khasnya berdaya upaya untuk menyara diri sendiri dengan makanan asasi iaitu beras. Usahakan ia sampai berhasil.
Berbalik lagi mengenai sumber minyak dan gas. Tidaklah cukup setakat berbangga mempunyai sumber ini. Tetapi yang penting ialah pengurusannya. Cara kita menguruskannya.
Pengurusan adalah segala-galanya. Penemuan sumber minyak di negara ini telah pun mencecah umur hampir satu abad. Dalam usianya yang sepanjang itu, orang-orang Brunei sepatutnya sudah lebih matang dalam pengurusan. Tetapi malang, kenyataannya masih tidak sampai ke tahap itu, bahkan masih terlalu jauh daripada apa yang diharapkan.
Adapun untuk mendapatkan khidmat konsultan atau pekerja luar adalah sesuatu yang biasa diamalkan. Tetapi ini, bukanlah bererti untuk selama-lamanya. Sedang konsep belajar dan menimba pengalaman tetap terbuka kepada anak-anak tempatan, tetapi ia lambat untuk berhasil, sehingga setakat untuk menduduki jawatan pengarah Urusan pun kita susah apatah lagi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.
Beta mahu supaya perkara ini dikaji. Beta kurang yakin anak-anak tempatan kita tidak mempunyai kebolehan langsung, berdasarkan kalau orang lain boleh mengapa kita tidak boleh? Dan kalau orang lain boleh mendapat ilmu dan pengalaman mengapa kita tidak?
Beta ragu selama ini kita mungkin sahaja salah pasang ‘skru’ makanya kita mesti mencari apa yang salah itu dan membetulkannya.
Pembangunan tidak akan berjalan lancar sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dilaksanakan dengan sempurna. Kerana itu langkah menguatkuasakan peraturan dan undang-undang amatlah perlu.
Adalah tidak wajar untuk selalu-selalu ketirisan dalam melaksanakan sebarang undang-undang atau peraturan.
Dalam Sidang Kabinet baru-baru ini, Beta ada menyebut mengenai pembersihan Brunei daripada sampah dan kotoran. Beta diberitahu, bahawa akta mengenainya sudah pun sedia ada dengan peruntukkan denda tertentu. Mana-mana orang atau syarikat didapati membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi lima ratus ringgit. Kerana itulah ada orang yang didenda cuma seratus atau dua ratus ringgit sahaja.
Kita masih belum pasti tentang kesempurnaan perlaksanaan akta ini, selain juga masih meragui, adakah denda sebanyak seratus atau dua ratus itu mampu untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat, khasnya kepada para pesalah yang berkenaan?
Begitu juga seperti Akta Rokok dan lain-lain, adakah ia sudah benar-benar dikuatkuasakan atau masih saja berlaku ketirisan mengenainya? Semua ini memerlukan perhatian dan kajian oleh pihak-pihak yang berkaitan.
Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa ianya didaulatkan melalui perlaksanaan. Perlaksanaanlah ‘harga’ bagi sesuatu akta itu.
Beta ingin melihat, di dalam Dewan yang mulia ini, semua ahli akan terlibat memberikan pendapat atau pandangan tanpa takut-takut atau ragu-ragu demi kebaikan bersama dan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-34, TAHUN 2018
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita selayaknya bersyukur, kerana Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kepada kita keamanan dan kemakmuran. Bukan semua negara dapat meraih nikmat yang agung ini.
Oleh itu dalam apa jua keadaan, kita mestilah berusaha, sambil memohon kepada Allah untuk mengekalkan nikmat ini. Kita jangan sekali-kali berpaling daripada-Nya, kerana nikmat itu datang atau pergi adalah semata-mata kehendak-Nya jua.
Kita hanyalah merancang, sementara Allah jualah yang melaksana. Kerana itu kalau kita merancang, maka rancanglah apa yang baik atau terbaik, bukan merancang perkara buruk atau perkara yang salah, yang tidak disukai oleh Allah.
Di sinilah, ramai orang yang silap, yang tidak faham ini. Mereka hanya merancang apa yang mereka mahu atau yang sedap untuk mereka sahaja, tanpa mengambil kira Maha Pencipta. Lalu awal atau pun akhir, rancangan-rancangan itu pun dipenuhi oleh masalah atau ada-ada saja cacatnya, kerana tiada berkat.
Sebagai sebuah negara Islam yang progresif, pengukuhan “Maqasid Syar’iah” adalah menjadi pra-syarat kepada kejayaan negara. Pengukuhan ini penting, sebagai pemangkin ke arah memastikan negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan.
Pada tahun ini, kita masih saja mengekalkan tema : “Menjayakan Wawasan Negara”. Ini menunjukkan betapa seriusnya kita untuk menjayakan wawasan itu.
Dalam soal ini, rakyat seluruhnya perlu turut memainkan peranan untuk memajukan diri dan meningkatkan lagi usaha-usaha menjana ekonomi dan pembangunan. Agensi-agensi Kerajaan pula perlulah cekap dan bijaksana dalam menguruskan sumber-sumber negara. Demikian juga pembangunan sumber manusia perlu sentiasa diberikan perhatian. Kita memerlukan komitmen dan usaha-usaha bersepadu dari semua pihak, termasuk sektor swasta, bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan rancak mencapai sasarannya.
Kita memang berhasrat untuk melihat negara melangkah lebih jauh sebagai sebuah negara maju. Ini adalah matlamat suci negara yang merdeka.
Harapan ini lebih-lebih lagi perlu turut digalas oleh generasi muda. Negara sangat memerlukan generasi muda untuk berani tampil menerajui pembangunan. Para belia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan di dalam atau di luar negeri. Mereka sepatutnya lebih terpanggil untuk menerajui pucuk pimpinan badan-badan sukarela, mahupun syarikat-syarikat.
Para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baru pasti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran. Merekalah yang diharapkan untuk memberikan nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara.
Di era baru ini, penggunaan teknologi maklumat semakin meluas dan memainkan peranan yang sangat penting. Ia juga tidak syak lagi, turut mengalihkan fokus ke arah ekonomi digital yang terbuka luas untuk diceburi. Ini pun satu lagi cabaran itu.
Di arena antarabangsa, Negara Brunei Darussalam akan terus mengamalkan sikap hormat menghormati dan mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara lain. Kita akan turut berusaha menangani isu-isu yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa seperti ancaman keganasan dan perubahan iklim.
Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-34 pada tahun ini.
Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, meliputi semua peringkat warga Perkhidmatan Awam, termasuk mereka yang bertugas di luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do’a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.