Titah KDYMM Sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Bagi Tahun 1439H/2018M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
BAGI TAHUN 1439H / 2018M

PADA
HARI JUMAAT
16HB. RAMADHAN 1439
1HB JUN 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul meraikan Sambutan Nuzul Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan yang Mubarak ini.

Kita sama-sama maklum, bahawa Al-Qur’an diturunkan adalah sebagai ‘hidayah’ atau petunjuk yang lengkap bagi segenap aspek kehidupan, yang meliputi kehidupan di dunia membawa sehingga ke akhirat. Satu daripada petunjuk Al-Qur’an itu ialah mengenai zakat. Zakat bukan saja satu kewajipan, malahan juga, salah satu dari rukun Islam yang ke lima.

Sistem Pengeluaran, Pengutipan dan pengagihan zakat adalah diambil daripada     Al-Qur’an dan Al-Hadith, sebagai satu cara pengurusan ekonomi Umat Islam.

Beriman dengan Al-Qur’an, bermakna juga, kita wajib mengamalkan segala ajarannya. Di antara ajaran Al-Qur’an itu ialah menunaikan zakat.

Zakat adalah sebaik-baik sistem untuk mengurus ekonomi. Dengannya, pembahagian rezeki adalah teratur, dimana orang kaya akan jadi penyumbang, sementara mereka yang berhak pula akan jadi penerimanya.

Melalui sistem ini, struktur masyarakat akan terjamin kukuh dan tidak pincang. Kerana yang ‘berhajat’ akan tetap terbela, sementara golongan yang ‘terabai’, tidak akan berbangkit lagi dalam masyarakat.

Inilah antara hikmah zakat itu.

Kerana itu Beta mahu, supaya pentadbiran zakat diperkasa terus. Kemaskan semua cara dan strategi menanganinya. Cari kaedah terbaik untuk membanteras kemiskinan dengan zakat, sehingga, penerima-penerima zakat akan dapat berdikari, tidak lagi menerima zakat tetapi menjadi pengeluar zakat.

Ini tidak mustahil untuk berlaku, misalnya : Dengan bermodalkan wang zakat, penerima zakat boleh dibimbing untuk berniaga atau memulakan satu-satu perusahaan sehingga mereka berjaya dan mampu untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Jika ini dapat dicapai, maka tidak syak lagi, ia adalah satu kejayaan besar dalam pentadbiran zakat.

Beta rasa, pihak berkenaan wajar mencuba, jangan tidak mencuba. Usahakanlah satu cara yang boleh membawa kepada kesedaran, iaitu kesedaran untuk berubah, bukan untuk kekal tidak pernah berubah.

Perubahan adalah idaman bagi setiap masyarakat maju. Tanpa perubahan, tidak akan ada cerita tentang kemajuan. Perubahan tidak syak lagi adalah sinonim dengan kemajuan. Kerana itu, kita sangat menginginkan gelombang perubahan untuk membawa kita melangkah maju.

Dengan pengurusan zakat, tidaklah semestinya statik, tetapi wajar untuk meningkat atau berubah, di mana dengan peningkatan atau perubahan itu, boleh memungkinkan terbukanya satu ‘laluan tepat’ untuk dilalui, bagi mengatasi apa-apa yang sukar diatasi. Inilah gunanya kita meningkat atau berubah itu.

Akhir kalam, di kesempatan ini, Beta dengan sukacita mengucapkan tahniah kepada peserta yang berjaya mendapat tempat di Musabaqah Menghafaz Al-Qur’an serta Pemahamannya, Peringkat Akhir Kebangsaan, dan marilah kita sama-sama merafa’kan syukur serta do’a ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga kita dan negara sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan-Nya. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majls Sambutan Isra’ Dan Mi’raj Peringkat Negara Bagi Tahun 1439H/2018M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN 1439H / 2018M

PADA
HARI SABTU
27HB. REJAB 1439 / 14HB APRIL 2018

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita wajib bersyukur di atas nikmat yang telah dan sedang kita kecapi di negara ini. Diantara nikmat keamanan dan perpaduan, sehingga kerananya dapatlah kita memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj pada pagi ini dengan penuh selesa.

Antara peristiwa yang berlaku di sekitar Isra’ dan Mi’raj ialah persinggahan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassallam di Masjid Al-Aqsa di Palestin, dengan Baginda itu menjadi imam dalam sembahyang jema’ah bersama para nabi yang lain. Peristiwa ini tidak syak lagi, merujuk kepada betapa pentingnya sembahyang jema’ah itu kepada kita umat Islam.

Di Negara Brunei Darussalam, bagi kemudahan umat Islam melakukan sembahyang jema’ah, maka banyaklah masjid yang dibina dan akan terus dibina sesuai dengan keperluan.

Kita juga menubuhkan Tabung Dana Masjid untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan pemuliharaan masjid, sambil untuk lebih mengeratkan lagi hubungan antara jema’ah dengan masjid.

Pembinaan masjid dan pemuliharaannya adalah sangat penting, supaya masjid sentiasa tersergam, selamat dan selesa untuk para jema’ah beribadat dan memelihara akidah.

Amali atau praktikal sembahyang jema’ah telah diajarkan di sekolah-sekolah ugama di negara ini. Perkara ini dianggap perlu, bukan hanya setakat untuk menjadikan para pelajar tahu apa itu sembahyang jema’ah tetapi juga supaya mereka suka dan istiqamah melakukannya.

Di sekolah-sekolah Arab dan sekolah ugama memang diadakan sembahyang berjema’ah, samada di surau-surau atau di masjid yang berdekatan. Perkara ini sangat bagus diteruskan, bukan hanya bagi pelajar tetapi juga para ibubapa dan penjaga yang ingin sembahyang berjema’ah.

Beta melihat cara ini cukup baik, kerana itu selain ia dilakukan di sekolah-sekolah Arab dan Ugama, ia juga patut dikembangkan ke sekolah-sekolah di bawah kendalian Kementerian Pendidikan. Untuk ini, mereka boleh saja menggunakan surau atau mana-mana jua ruang yang bersesuaian.

Tujuan masjid ialah untuk dimakmurkan atau diramaikan oleh para jema’ah. Maka oleh itu, kita adalah dituntut untuk menjadikan setiap masjid ‘mesra jema’ah’.

Diantara ciri-ciri mesra jema’ah itu ialah menjadikan masjid dan persekitarannya sentiasa bersih dan menarik, disamping tidak diabaikan juga ialah mengisinya dengan kegiatan-kegiatan yang berkebajikan, seperti dengan ceramah-ceramah ugama, dengan membaca kitab secara berhalaqah dan lain-lain. Ini semua adalah cukup berkesan untuk meramaikan masjid.

Inilah diantara tugas dan tanggungjawab Jabatan Masjid, dengan dibantu oleh Jawatankuasa Takmir Masjid. Laksanakanlah tugas dan tanggungjawab ini dengan          sebaik-baiknya, nescaya kita akan mendapati hasilnya yang baik dengan izin Allah.

Baiki dan pertingkatkan mana-mana yang berkaitan dengan masjid, seperti pegawai-pegawainya, dan termasuk juga penyediaan, khasnya penyampaian khutbah-khutbah oleh para khatib pada hari Juma’at. Khutbah dan penyampaiannya dalah ‘nadi’ bagi ugama. Jika khutbah dan penyampaiannya lemah, maka lemahlah nadi itu.

Bersempena dengan sambutan Isra’ dan Mi’raj ini, adalah wajar bagi kita meningkatkan azam supaya rajin ke masjid dan surau bagi merebut pahala sembahyang jema’ah. Andainya kita tidak mampu untuk melakukannya pada setiap waktu di masjid, maka sekurang-kurangnya kita perlu beriltizam untuk sembahyang jema’ah itu bersama-sama keluarga di rumah. Dengan peningkatan sembahyang jema’ah itu, Insya Allah, keluarga, sekolah  dan anak-anak kita akan mendapat berkat, dan malah negara kita, Brunei Darussalam juga akan beroleh berkat yang sama.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Yang Berada Di Australia

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS RAMAH MESRA
BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI AUSTRALIA

PADA HARI SABTU
17HB. MAC, 2018

BERTEMPAT
SYDNEY, AUSTRALIA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah Beta pada hari ini bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Australia, terutama para pelajar, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Majlis ini memberi peluang kepada Beta untuk mengetahui secara dekat kesejahteraan rakyat dan penduduk, terutama sekali para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini, sama ada melalui Skim Biasiswa Kerajaan, Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan mahupun melalui pembiayaan sendiri.

Kepada para pelajar sayugia Beta ingatkan akan kepentingan ilmu pengetahuan, terutama dalam usaha kerajaan Beta menjayakan Wawasan Negara 2035. Generasi muda yang berpendidikan tinggi adalah sebenar-benarnya sumber asli negara yang tiada ternilai. Dengan rakyat berilmu dan berkemahiran akan mampu untuk memacu ekonomi dan kemakmuran negara.

Harapan Beta ialah, supaya generasi muda lebih berani menyahut cabaran. Para belia perlu tampil menyumbangkan buah fikiran dan usaha membangunkan negara. Sebagai aset masa depan, para belia mestilah kaya dengan semangat dan cita-cita.

Oleh itu, para pelajar selaku belia perlu merebut setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan, khasnya dalam bidang pengajian tinggi. Peluang ini bukan saja untuk pengajian di luar negara malahan juga untuk meningkatkan lagi nilai dan jati diri para pelajar. Apa jua ilmu dan kemahiran adalah ia nadi untuk kecemerlangan.

Beta minta kepada para pelajar, supaya menghargai kemudahan-kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Setiap penerima Biasiswa, mestilah menunjukkan komitmen dan kesetiaan mereka terhadap tanahair, dengan cara, apabila telah selesai menamatkan pengajian kelak, mereka tidak akan mungkir untuk menabur bakti kepada negara. Inilah namanya semangat patriotisme.

Di samping itu, para pelajar juga janganlah mudah lupa diri, bahawa mereka adalah anak-anak Brunei sejati. Selaku orang Brunei, mereka adalah dengan pegangan, budaya dan identitinya sendiri. Bawa dan peganglah kuat-kuat pegangan, budaya dan identiti ini, jangan ia dilepaskan atau ditukar ganti. Inilah aset kita. Inilah ‘harga’ diri kita.

Dengan bahasa yang mudah, kita adalah pemilik MIB. MIB itulah sistem kita, MIB itulah identiti kita. Jika kita membuang MIB, bererti, sama dengan kita menolak sistem dan mengaburi identiti sendiri. Jadi, siapa kita pada ketika itu?

Namun Beta yakin, para pelajar kita tidaklah perlu untuk diragui lagi, kerana mereka sudahpun matang, dengan banyaknya membaca dan mendengar tentang sejarah bangsa dan tanahair, Brunei Darussalam.

Brunei, Beta yakin, tidak miskin dengan warga pelajarnya yang bersemangat keBruneian. Demikian juga, Brunei boleh berbangga dengan warga pelajarnya yang berdisiplin tinggi. Tidak seperti di tempat lain, ada pelajar-pelajar yang lemah disiplin, sehingga jadi duri kepada masyarakat. Mereka menubuhkan kumpulan-kumpulan samseng, membuli dan mendera sesama mereka, belum lagi termasuk yang terlibat dengan dadah dan seumpamanya.

Ini semua, Beta tidak mahu berlaku kepada pelajar-pelajar kita. Tetapi sebaliknya, pertahankanlah Brunei untuk terus mempunyai rekod bersih mengenai pelajar-pelajarnya. Janganlah dihitamkan rekod ini untuk selama-lamanya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Bersempena Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke Tujuh

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERSEMPENA
PERBARISAN TAMAT LATIHAN
PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA
PENGAMBILAN KE TUJUH
PADA 
HARI KHAMIS
27HB JAMADILAKHIR 1439
15HB MAC 2018
BERTEMPAT
KEM LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA, 
KAMPONG BATU APOI
DAERAH TEMBURONG

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Marilah kita merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-7 dapat berlangsung dengan jayanya. Ini adalah kali kedua Upacara Perbarisan Tamat Latihan dilaksanakan di Padang Kawad, Kem Latihan Kekal PKBN di Kampong Batu Apoi, Daerah Temburong. 
Beta percaya kewujudan PKBN amatlah penting, kerana melaluinya, kita dapat membentuk modal insan belia yang optima, yang memiliki jati diri dan semangat patriotisme yang kental. Beta amat gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pelatih semasa acara Hari Kebangsaan baru-baru ini. Semangat seperti ini perlu terus dipupuk untuk mencapai ‘Brunei Maju’ menjelang 2035. 
Kita semua maklum, bahawa kemajuan sesebuah negara itu sering dikaitkan  dengan pembangunan modal insan. Kerana pembangunan modal insan adalah teras bagi menjayakan sesuatu transformasi ke arah perubahan. Maka atas asas inilah kita memberikan fokus kepada pembangunan insan cemerlang, di antaranya melalui program PKBN. Lebih-lebih lagi modal insan di peringkat belia, kerana belia adalah tonggak bangsa dan negara. 
Kerana itu, para pelatih, kita bekalkan mereka dengan nilai-nilai yang kukuh, baik dari aspek fizikal mahupun rohani, agar belia Brunei benar-benar dapat diharapkan untuk menghadapi apa jua hambatan atau cabaran. 
Beta pada hari ini turut berbangga, kerana Bahagian Khidmat Bakti Negara telah maju setapak lagi dengan penubuhan Persatuan Alumni PKBN. Beta yakin penubuhan Persatuan ini, bukan saja dapat menyatukan kesemua Alumni PKBN di bawah satu organisasi, malahan juga dapat menabur jasa dan sumbangan, seperti melalui kegiatan-kegiatan keugamaan dan kemasyarakatan serta khidmat kesukarelawanan. 
Alhamdulillah, kita sama-sama dapat menyaksikan prasarana dan bangunan yang telah dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan canggih, antara lain, seperti struktur pelbagai latihan (Multi-Training Structure) dan Obstacle Course. Apa yang perlu sekarang ialah untuk kemudahan-kemudahan itu akan digunakan sepenuhnya, bukan hanya sewaktu ada pengambilan program PKBN sahaja. 
Oleh itu, bagi pihak-pihak yang berkenaan sangatlah wajar untuk merencana dan melaksanakan dengan baik setiap program di Kem Latihan Kekal PKBN ini. 
Akhirnya, Beta mengucapkan tahniah dan syabas kepada seramai 347 pelatih PKBN Pengambilan ke-7, iaitu jumlah terbesar pengambilan setakat ini. 
Kejayaan para pelatih pada hari ini bukan saja hasil titik peluh masing-masing, malahan juga dari kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak, khususnya para jurulatih, lebih-lebih lagi berkat doa ibu-bapa dan penjaga serta keyakinan mereka, bahawa anak-anak mereka perlu diberikan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang bermanfa’at, selaku generasi belia yang benar-benar Bersedia Berkhidmat dan Berbakti. 
Insya Allah, diatas segala sumbangan bakti yang diberikan kepada pembangunan modal insan, demi untuk melahirkan Generasi Cemerlang, maka para pelatih, semoga akan dikurniakan rahmat dan petunjuk oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Permesyuartan Ke-14 Majlis Mesyuarat Negara

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM


SEMPENA ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI
MESYUARAT PERTAMA DARI PERMESYUARATAN KE-14
MAJLIS MESYUARAT NEGARA

PADA
HARI ISNIN
17HB. JAMADILAKHIR 1439
05HB MAC 2018

BERTEMPAT
BANGUNAN DEWAN MAJLIS

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan izin-Nya kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Keempat Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Beta berharap majlis akan dapat bersidang dengan ahli-ahli semua dapat mengemukakan buah fikiran serta seterusnya mencadangkan perkara-perkara yang dapat membawa perubahan-perubahan besar kepada negara.

Di mana-mana sahaja terdapat kecenderungan orang bercakap mengenai ekonomi. Maka kita pun demikian juga sangat mengambil berat bidang ekonomi itu.

 Sebagai sebuah negara yang masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, Negara Brunei Darussalam perlu terus aktif mempelbagaikan ekonominya. Ini adalah wajar, berdasarkan harga minyak dunia sering sahaja dilihat tidak menentu.

Walaupun permintaan global meningkat dan harga minyak mulai pulih pada kadar yang menggalakkan, namun pertumbuhan ekonomi tetap sahaja diramal masih berada pada paras yang rendah.

Lalu kerana itu, kita tetap perlu untuk terus mengawal imbangan fiskal negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

Tetapi ini sahaja tidak memadai. Langkah berjimat memang baik dan terpuji, tetapi semata-mata berjimat tanpa ada usaha ke arah pertumbuhan adalah salah satu sikap yang tidak diterima. Di samping berjimat, kita juga mesti menggembleng tenaga bagi pertumbuhan secara besar-besaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Brunei perlu meneroka bidang yang tidak dapat diabaikan lagi. Pastikan ianya ditangani dengan berkesan sehingga berhasil. Beta sudah pun menyebut berkali-kali bidang pertanian. Bidang ini sangatlah mendesak untuk digerakkan. Bukan bergerak ikut mood, tetapi bergerak demi keperluan. Negara adalah sangat-sangat memerlukan.

Sudah sampai masanya untuk Brunei berdikari dalam pemakanannya, khasnya berdaya upaya untuk menyara diri sendiri dengan makanan asasi iaitu beras. Usahakan ia sampai berhasil.

Berbalik lagi mengenai sumber minyak dan gas. Tidaklah cukup setakat berbangga mempunyai sumber ini. Tetapi yang penting ialah pengurusannya. Cara kita menguruskannya.

Pengurusan adalah segala-galanya. Penemuan sumber minyak di negara ini telah pun mencecah umur hampir satu abad. Dalam usianya yang sepanjang itu, orang-orang Brunei sepatutnya sudah lebih matang dalam pengurusan. Tetapi malang, kenyataannya masih tidak sampai ke tahap itu, bahkan masih terlalu jauh daripada apa yang diharapkan.

Adapun untuk mendapatkan khidmat konsultan atau pekerja luar adalah sesuatu yang biasa diamalkan. Tetapi ini, bukanlah bererti untuk selama-lamanya. Sedang konsep belajar dan menimba pengalaman tetap terbuka kepada anak-anak tempatan, tetapi ia lambat untuk berhasil, sehingga setakat untuk menduduki jawatan pengarah Urusan pun kita susah apatah lagi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.

Beta mahu supaya perkara ini dikaji. Beta kurang yakin anak-anak tempatan kita tidak mempunyai kebolehan langsung, berdasarkan kalau orang lain boleh mengapa kita tidak boleh? Dan kalau orang lain boleh mendapat ilmu dan pengalaman mengapa kita tidak?

Beta ragu selama ini kita mungkin sahaja salah pasang ‘skru’ makanya kita mesti mencari apa yang salah itu dan membetulkannya.

Pembangunan tidak akan berjalan lancar sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dilaksanakan dengan sempurna. Kerana itu langkah menguatkuasakan peraturan dan undang-undang amatlah perlu.

Adalah tidak wajar untuk selalu-selalu ketirisan dalam melaksanakan sebarang undang-undang atau peraturan.

Dalam Sidang Kabinet baru-baru ini, Beta ada menyebut mengenai pembersihan Brunei daripada sampah dan kotoran. Beta diberitahu, bahawa akta mengenainya sudah pun sedia ada dengan peruntukkan denda tertentu. Mana-mana orang atau syarikat didapati membuang sampah di tempat awam boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi lima ratus ringgit. Kerana itulah ada orang yang didenda cuma seratus atau dua ratus ringgit sahaja.

Kita masih belum pasti tentang kesempurnaan perlaksanaan akta ini, selain juga masih meragui, adakah denda sebanyak seratus atau dua ratus itu mampu untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat, khasnya kepada para pesalah yang berkenaan?

Begitu juga seperti Akta Rokok dan lain-lain, adakah ia sudah benar-benar dikuatkuasakan atau masih saja berlaku ketirisan mengenainya? Semua ini memerlukan perhatian dan kajian oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Kita tidak mahu orang mempersendakan akta kerana kelemahan kita. Ada akta sahaja belum memadai tanpa ianya didaulatkan melalui perlaksanaan. Perlaksanaanlah ‘harga’ bagi sesuatu akta itu.

Beta ingin melihat, di dalam Dewan yang mulia ini, semua ahli akan terlibat memberikan pendapat atau pandangan tanpa takut-takut atau ragu-ragu demi kebaikan bersama dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1439 HIJRAH / 2018 MASIHI
(MALAM KETIGA)
PADA 
HARI KHAMIS
14HB. JAMADILAKHIR 1439 / 02HB MAC 2018
BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir dalam majlis yang berkat ini. 
Adalah tema musabaqah pada malam ini berbunyi: “Al-Qur’an Sumber Kepimpinan Adil”. Tema ini mengingatkan kita kepada sebuah hadis masyhur yang menceritakan bagaimana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah memperakui cara sahabat Baginda, Mu’az bin Jabal, yang diutus menjadi gabenor di Yaman, telah memutuskan suatu hukuman dengan terlebih dahulu merujuk kepada Al-Qur’an. Maka tema ini adalah sangat tepat untuk membimbing kita bagaimana menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sumber rujukan dalam kepimpinan. 
Pengertian Adil adalah bermaksud meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang betul lagi layak. Soalnya, adakah kita sudah melakukan ini, sesuai dengan pengertian tersebut?
Alhamdulillah, tahun demi tahun kita telah diberi taufiq dan hidayah alah Allah Subhanahu Wata’ala untuk tetap istiqamah mengadakan musabaqah Tilawah Al-Qur’an. Rasa-rasanya dengan ini, dapatlah dianggap, bahawa kita telah pun berlaku adil meletakkan Al-Qur’an itu pada tempatnya yang wajar untuk dipelajari dan dihayati dengan sebaik-baiknya. 
Di samping musabaqah peringkat ini, Beta juga gembira mengetahui, bahawa di sana ada beberapa musabaqah lagi yang bukan hanya dalam bidang bacaan, malahan juga hafazan dan pemahaman. Ini pun satu lagi cara kita berlaku adil kepada Al-Qur’an, kerana Al-Qur’an selain untuk dibaca, ia juga adalah untuk difahami dan dihayati. 
Di samping generasi yang sedia ada perlu terus berusaha membaca dan memahami Al-Qur’an, anak-anak kita, generasi penerus juga adalah lebih penting lagi untuk disiapkan dengan ilmu Al-Qur’an, sehingga mereka itu dapat mencapai lebih baik lagi daripada kita. Kerana mereka adalah aset masa depan yang lebih menentukan. 
Di Brunei, kita ada Sekolah Ugama. Pembelajarannya ialah selama tujuh tahun, dimana Al-Qur’an merupakan mata pelajaran terpenting, yang diajarkan sejak dari peringkat pra lagi. Di sekolah-sekolah menengah umum juga ada tafsiran dan pemahaman Al-Qur’an. Begitu juga kita ada Sekolah-Sekolah Arab pelbagai peringkat dan Institut Tahfiz Al-Qur’an yang mengajarkan Al-Qur’an serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. 
Di peringkat pengajian tinggi pula, kita juga sudah ada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang terus giat mengajarkan ilmu-ilmu Al-Qur’an. 
Beta percaya, memang wajar bagi para mahasiswa yang berkenaan untuk memahami Al-Qur’an. Jika mahasiswa di bidang ugama dan guru-guru ugama tidak atau belum memahami Al-Qur’an maka siapa lagi? Kita pernah mendengar golongan orientalis turut memahami Al-Qur’an kerana mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk itu, maka mengapa mahasiswa kita yang berkenaan tidak berusaha?
Bagi masyarakat umum pula, kita masih saja boleh belajar menurut kadar kemampuan masing-masing.
Untuk akhirnya, Beta mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya ke peringkat akhir dan seterusnya kepada pemenang yang terpilih bagi mewakili negara ke Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Antarabangsa nanti. Marilah kita sama-sama merealisasikan tema ini agar ianya tidak hanya tinggal tema, dan berusaha serta berdoa agar kita benar-benar menjadikan Al-Qur’an sebagai sumber rujukan dalam kehidupan kita di Negara Brunei Darussalam ini. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.