TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1441H / 2019M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat pula menyambut dan memperingati Maulid Ar-Rasul. Semoga kita semua akan terus memperingatinya dari tahun ke tahun kerana memperingati Maulid Ar-Rasul itu adalah wadah bagi menyingkap balik kerasulan dan kepimpinan Baginda.
Baginda tidak diragukan lagi adalah Rasul akhir zaman dan pemimpin tertinggi seluruh umat.
‘Pemimpin’ menurut perspektif Islam adalah contoh atau tauladan atau ikutan terbaik, sebagaimana tafsiran ayat 21, Surah Al-Ahzab, bahawa sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan hari akhirat.
Ayat ini secara tepat memberitahu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah pemimpin kita dan kepimpinan Baginda disifatkan sebagai kepimpinan yang paling baik atau terbaik. Maka kerana itu, wajar bagi kita untuk memilih kepimpinan Baginda semata-mata, bukannya kepimpinan yang tidak ada kena-mengena dengan kepimpinan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Tetapi dalam era baharu ini, bukan semua orang nampak akan rahsia tersebut. Kerana itu terdapat sebahagian orang Islam sendiri yang terjebak memilih kepimpinan lain dari Islam.
Natijahnya, banyaklah hal-hal bertentangan dengan Islam dilakukan oleh mereka.
Situasi ini boleh saja mengundang kepada pelbagai keburukan di dunia, bahkan turut menunggu juga ganjaran pedih di akhirat nanti.
Alhamdulillah, kepimpinan Brunei Darussalam, sejak lebih dari 600 tahun lagi, tidak pernah membelakangi Islam. Kerana itu Brunei selamat, dan malah terus-menerus berhias dengan berkat.
Keberkatan yang menghiasi Brunei dapat dikesan melalui segala aspek, terutama aspek kehidupan.
Semua rakyat dilihat riang gembira dan bersatu padu, tanpa berlaku sebarang pergaduhan atau pertelagahan. Masing-masing dilihat mempunyai semangat tinggi untuk memelihara keamanan dan keharmonian. Negara juga terus-menerus stabil dan makmur, mampu untuk membangun dengan izin Allah.
Niat kita membangun adalah semata-mata untuk rakyat dan negara. Rakyat dikelinga dan negara pula dibina. Inilah ajaran ugama kita. Sesama rakyat dituntut untuk tidak camah mata. Mana-mana yang kuat hendaklah menolong yang lemah dan yang senang menolong yang susah. Inilah rukun hidup kepimpinan Islam.
Sebab itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sampai memberi peringatan bahawa tidak beriman seseorang itu jika dirinya saja yang kenyang, sedang jirannya dibiarkan lapar (maksud hadis).
Inilah antara contoh kepimpinan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Siapakah yang dapat menandingi kepimpinan seperti ini?
Kerana itu amat penting untuk kita mengenang dan memperingati kelahiran Baginda, supaya dengan itu dapatlah kita mengingat balik segala jasa dan gaya kepimpinan Baginda untuk dicontohi.
Kepimpinan Nabi berstatus wahyu, di mana mengambil dan memakainya adalah ibadat. Selaku ibadat, kita bukan sahaja menjadikannya panduan, malah juga dapat meraih pahala yang dijanjikan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.