Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-13 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-13

UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI

 

PADA HARI ISNIN

13 SAFAR 1445 /

30 OGOS 2023

 

BERTEMPAT

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Pada Kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini. Ijazah dan diploma berkenaan adalah tanda kejayaan semua graduan yang telah menyempurnakan pengajian dalam bidang masing-masing di UNISSA. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga akademik atas usaha dan pengorbanan masing-masing bagi kejayaan para graduan.

Seperti dimaklumi, pada hari ini Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan adalah agenda global yang ditekankan untuk dilaksanakan oleh setiap negara. Negara kita turut tidak ketinggalan berusaha ke arah mencapai matlamat berkenaan. Daripada 17 matlamat yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya ialah sifar kemiskinan. Kemiskinan adalah isu sosial yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan pendidikan. Sekali pun di negara kita isu kemiskinan tidaklah sebesar di negara membangun lainnya tetapi ia tetap perlu ditangani.

Dalam Islam, pembangunan sosial masyarakat adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dan lambang keutuhan iman. Ini jelas apabila Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menitikberatkan isu sosial sehingga Baginda menafikan kesempurnaan iman bagi sesiapa yang tidur kekenyangan sedang dia mengetahui jiran tetangganya tidur dalam kelaparan.

Beta berpendapat, UNISSA berperanan besar untuk turut mengani isu ini. UNISSA boleh berganding bahu membasmi kemiskinan di negara ini dengan melaksanakan penyelidikan-penyelidikan yang bersesuaian. Daripada hasil penyelidikan itu, akan dapat dikenalpasti cara atau jalan untuk membantu golongan terbabit melalui penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.

Isu kemiskinan ini juga berkait rapat dengan isu sekuriti makanan. Makanan yang berkhasiat adalah diperlukan untuk kesihatan fizikal dan mental. Individu yang sihat akan menjadi sumber tenaga kerja yang berkualiti yang boleh menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan negara.

Kebetulan pula dengan wujudnya fakulti pertanian di UNISSA, Beta percaya dengan kepakaran yang dimiliki akan dapat menyumbang bagi penaiktarafan eko-sistem pertanian dan peningkatan kualiti, hasil pengeluaran pertanian dan pemakanan negara. Termasuk dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menambah sumber pendapatan dan sekaligus menyokong agenda global ke arah mencapai matlamat kelaparan sifar dalam SDG.

Dalam hubungan ini juga, Beta gembira mengetahui bahawa UNISSA adalah merupakan satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dalam penilaian prestasi universiti global yang mendokong agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Pencapaian ini membuktikan bahawa UNISSA terus mendapat pengiktirafan global dan berkembang seiring dengan tuntutan semasa.

Menyentuh mengenai kualiti program dan keperluannya kepada negara pula, Beta mengambil maklum bahawa program Dwi-Ijazah Syari’ah dan Undang-Undang yang sedang berjalan pada masa ini, adalah ditawarkan di bawah Fakulti Syari’ah dan Undang-Undang. Program yang seumpama ini tidak ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam tempatan yang lain selain UNISSA sahaja. Beta melihat, ini adalah satu kelebihan bagi UNISSA.

Namun begitu, untuk mencapai kesan lebih baik dan kualiti lebih tinggi, maka Beta berpendapat, ada keperluan untuk menjadikannya DUA fakulti berasingan, satu fakulti Syari’ah dan satu lagi fakulti Undang-undang, dimana dengan hal yang demikian, dapatlah masing-masing fakulti itu akan beroperasi lebih teratur dan dapat memberikan tumpuan khusus supaya modul atau kursus di dalamnya boleh dirangka dengan lebih terarah. Sementara matlamat paling penting, kedua-dua fakulti ini, masing-masing akan dapat diharapkan untuk melahirkan lulusan-lulusan yang berkualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa.

Adapun fakulti Undang-Undang akan menyediakan pengajian peringkat tinggi dalam bidang perundangan Syari’ah dan Sivil, iaitu satu cara, untuk menghasilkan pengamal-pengamal undang-undang yang celik dan pakar dalam dua-dua perundangan Syari’ah dan Sivil sekaligus.

Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan UNISSA atas segala sumbangan tenaga, buah fikiran dan masa dalam sama-sama menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-13 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-35 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-35

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

 

PADA HARI ISNIN

4 SAFAR 1445 /

21 OGOS 2023

 

BERTEMPAT

DEWAN CANSELOR

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali ke-35 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga ahli akademik atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD.​

Beta yakin para graduan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baharu yang bakal ditempuh berikutan suasana dunia yang semakin mencabar dengan perubahan-perubahan pantas di luar jangkaan. Sebagai contoh, teknologi kecerdasan atau artificial intelligence (A.I.) yang sangat hangat pada masa ini telah membawa perubahan besar, termasuk kepada sektor pendidikan dan perundangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

Sebagai sebuah universiti yang paling tua di Negara Brunei Darussalam, UBD memiliki kapasiti untuk mengetuai pencetusan idea memanfaatkan kesan positif artificial intelligence terhadap masyarakat. Ini termasuklah penggunaan A.I. dalam meningkatkan kecekapan di tempat kerja.

Dalam hubungan ini, Beta juga menyarankan agar UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain akan memikirkan dan menyediakan garis panduan untuk memanfaatkan kecekapan dan produktiviti yang dapat diperolehi dari gabungan penggunaan kecerdasan buatan dengan kecerdasan semula jadi manusia. Dengan adanya garis panduan ini nanti akan dapatlah diharapkan penggunaan yang telus, berintegriti dan beretika bagi mencegah penyalahgunaan A.I. Pada masa yang sama juga, garis panduan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus dan rangka kerja bagi usaha-usaha transformasi digital kebangsaan ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation.

Perkembangan seperti ini diperlukan untuk sentiasa tangkas dan adaptable bagi menyahut evolusi yang sentiasa mendatang.

Alam pekerjaan juga tidak terlepas dari mengalami keadaan sentiasa berubah dan sukar diramal. Maka sehubungan itu, Beta menyambut baik usaha UBD membangunkan satu portal digital pencarian pekerjaan iaitu CareerBN yang dilengkapi dengan kemampuan machine learning dan A.I.  ini dilihat mampu untuk kemudahan pengurusan profil, job notification, job matching dan akses mudah kepada majikan dan lain-lain.

Selain dari isu pencarian pekerjaan, Beta juga tidak jemu-jemu menggalakkan para graduan supaya meneroka peluang keusahawanan. Bidang ini mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang-peluang baharu perniagaan dan pekerjaan. Oleh itu, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka satu Entrepreneurship Blueprint bagi memastikan ekosistem keusahawanan para pelajar UBD adalah lebih teratur dan komprehensif. Beta berharap usaha ini akan benar-benar menyuntik minda keusahawanan di kalangan para pelajar.

Dari sini akan dapat dilihat betapa sebuah universiti itu mampu untuk berperanan mencipta ataupun co-create masa depan pelajar cemerlang selaras dengan tagline UBD iaitu Futuring Together.

Sehubungan itu, Beta juga ingin mengingatkan supaya UBD menekankan kepada para graduan bahawa aktiviti mereka bukan hanya untuk kebaikan diri sendiri, malahan juga untuk berbakti kepada bangsa, ugama dan negara.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Malaysia dan Singapura

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN

 

DI MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN

PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DI MALAYSIA DAN SINGAPURA​

 

PADA:

4 OGOS 2023

 

TEMPAT:

GRAND HYATT KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur, kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga di Malaysia dan Singapura.

Majlis seumpama ini telah memberikan peluang kepada Beta untuk bertemu secara lebih dekat dengan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang menuntut di sini.

Alhamdulillah, keramaian pelajar Negara Brunei Darussalam yang belajar di peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negeri termasuk Malaysia dan Singapura, adalah terus menunjukkan peningkatan yang baik. Ini memberikan satu interpretasi yang positif dimana budaya belajar dan menuntut ilmu semakin menjadi pilihan. Inilah budaya yang akan kita pupuk dan kembangkan terus menerus tanpa titik noktahnya.

Kearah kesempurnaan budaya ini, Beta yakin para pelajar telah sedia memiliki iltizam, dedikasi dan tekad yang tinggi untuk mencapainya, terutama bagi para pelajar yang telah memilih untuk belajar di luar negara.

Belajar di luar negara memberikan peluang sangat bererti kepada para pelajar untuk bersaing dengan golongan pelajar dari persekitaran yang berbeza. Bersaing dalam lingkungan yang berbeza ini boleh menjadi cabaran terbaik bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, kreatif dan progresif, yang mampu untuk menangkis segala kejutan budaya perosak.

Inilah misi dan visi yang betul untuk dipegang oleh para pelajar.

Beta ingin mengingatkan, dalam keghairahan budaya melayari Internet dan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi maklumat, para pelajar hendaklah sentiasa waspada dan berhati-hati supaya tidak semudah mana mengongsikan maklumat peribadi kepada sebarang pihak, bagi mengelakkan terjebak kepada ancaman atau jenayah cyber.

Selain itu, Beta juga ingin mengingatkan kepada para pelajar, selaku duta kecil, supaya terus konsisten mengamalkan nilai-nilai Kebruneian yang dimiliki. Jadilah contoh yang baik dengan mengekalkan dan menonjolkan nilai-nilai yang terpuji orang-orang Brunei.

Selain merebut peluang pembelajaran, Beta juga mahu supaya para pelajar menjadi tenaga kerja yang bukan sahaja berpendidikan dan berkemahiran tinggi, tetapi juga mampu untuk menyumbangkan jasa bakti kepada negara, ugama, Raja dan bangsa. Inilah matlamat luhur lagi tertinggi untuk dicapai oleh semua para pelajar.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dalam keadaan baik-baik sahaja, beroleh perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KALI KE-18​

TEMA : ‘BELIA SIAGA MASA DEPAN’

 PADA HARI SELASA: 14 MUHARRAM 1445H / 01 OGOS 2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-18 pada pagi ini.

‘Belia dan Negara Berpisah Tiada’. Ungkapan ini dilihat sangat relevan dengan Golongan Belia yang merupakan peneraju negara.

Golongan belia turut membuktikan bahawa mereka adalah agen perubahan masa depan dan mampu untuk merealisasikan ‘Aspirasi Negara’ menjelang tahun 2035.

Oleh itu, sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos adalah merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.

Beta juga melihat, sumbangan golongan belia itu boleh merangkumi banyak bidang, seperti bidang ekonomi, digital, inovasi sosial, agri-bisnes, industri kreatif, kesukarelawan dan kemasyarakatan, bahkan juga penggubalan dasar.

Golongan Belia juga sudah dilihat mempelopori pelbagai bidang keusahawanan sama ada dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Beta difahamkan, lebih kurang 17 ribu belia adalah berdaftar di bawah bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan (ROCBN).

Perkembangan ini sangatlah memberangsangkan. Sayugia juga para belia dikehendaki lebih berani untuk tampil ke hadapan dan keluar dari comfort zone dengan mengorak langkah lebih jauh bagi menembusi dan menguasai pasaran serantau dan antarabangsa, yang banyak menawarkan peluang dan cabaran untuk memanfaatkan platform-platform yang telah disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memudahkan kerjasama dalam bidang-bidang perniagaan dan pelaburan.

Dari aspek kepimpinan, Beta menyambut baik penglibatan aktif belia dalam dialog dan penggubalan dasar di peringkat kebangsaan mahupun serantau. Kerajaan akan terus menyediakan platform-platform yang berkesan seperti Kongres Belia dan Youth Town Hall serta  penglibatan dalam forum dasar serantau sebagai ruang untuk menyuarakan idea bernas dan ‘Aspirasi Belia’.

Baru-baru ini, kita berbangga dengan kejayaan belia kita memenangi ASEAN Prize Award buat pertama kalinya. Di samping itu, atlet-atlet belia juga berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-32 dan ASEAN Para Games Ke-12, di Kemboja.

Walau begitu, adalah diingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri kebruneian ‘Berakhlak Mulia’, dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum ugama dan Undang-Undang.

Kita tidak perlu merasa rendah diri atau terpinggir jika tidak menyertai satu-satu jenis sukan yang tidak dibenarkan oleh Ugama atau Undang-Undang. Inilah prinsip Brunei.

Untuk akhirnya, dan bersempena dengan Hari Belia kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1445

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

TAHUN BARU HIJRAH 1445

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1445.

Bermula pada tahun 1445 Hijrah ini, nama Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah, kita gantikan dengan “SAMBUTAN ILAL HIJRAH”. Ilal hijrah membawa maksud “Kearah penghijrahan”, dalam makna, kita bergerak mengubah atau memperbaiki kehidupan yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Beta menyambut baik perubahan ini, untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Tema sambutan kali ini ‘Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera’. Konsep tema ini diambil dari salah satu Maqasid Syar’iah iaitu memelihara ugama. Ugama yang dimaksudkan tidak lain, ialah Ugama Islam.

Fungsi ugama ialah untuk mengatur kehidupan manusia. Ia menjadi punca kepada wujudnya kebajikan bagi penganutnya.

Di sinilah pentingnya Maqasid Syar’iah itu bagi memastikan urusan kehidupan berjalan dengan sempurna, sama ada urusan peribadi mahupun urusan berupa pentadbiran negara.

Alhamdulillah, Beta mengambil maklum Kementerian Hal Ehwal Ugama telah merintis langkah menyebarluaskan kefahaman mengenai Maqasid Syar’iah, bukan sahaja di sektor kerajaan, malahan juga di sektor-sektor swasta. Beta ingin menyarankan supaya pihak berkenaan memberigakan perkara ini ke seluruh lapisan masyarakat di negara ini, bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan juga di kampung-kampung.

Beta yakin, kesan dari memelihara ugama, rakyat di negara ini akan terus menerus menikmati kemakmuran, di mana Kerajaan beta sentiasa berusaha untuk memastikan, tiada seorang rakyat pun yang akan dibiarkan melarat tanpa dibela.

Sehubungan itu juga, Beta telah memperkenankan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam menjadi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beta difahamkan Jabatan ini dengan rasminya akan beroperasi pada Hari Rabu, 1 Muharram 1445 Hijrah bersamaan 19 Julai 2023 Masihi. Dengan tertubuhnya Jabatan ini, hal ehwal pengurusan zakat dari sudut pengagihan dan keberkesanan, termasuk pelaksanaan program-program lain, dijangka akan lebih efektif dan efisien. Begitu juga dalam perkara pengurusan wakaf dan harta-harta Baitulmal akan menumpukan usaha ke arah mempelbagaikan pengurusan dan penggunaan waqaf disamping mengurus dan mengembangkan harta-harta Baitulmal.

Beta sukacita mengambil peluang menyeru seluruh rakyat dan masyarakat di negara ini untuk sama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memelihara kesejahteraan yang kita nikmati tanpa mengira kedudukan, latar belakang dan sebagainya, kerana walaupun secara zahir keadaan kita berlainan, namun matlamat adalah sama sahaja untuk mempertahankan kesejahteraan negara yang kita cintai ini dengan berpandukan Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Ilal Hijrah 1445 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala sebagai tanda kita mensyukuri memasuki tahun baru. Semoga kita dan negara sentiasa berada dalam ‘Inayah dan perlindungan Allah jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Titah KDYMM Sempena Hari Keputeraan Baginda yang Ke-77 Tahun 1444H / 2023M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-77

TAHUN 1444H/2023M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-77 dalam suasana aman dan selamat.

Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Dunia sekarang sedang melalui pelbagai ketidaktentuan seperti ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan kadar inflasi yang tinggi dan seumpamanya. Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dari turut terkesan dengan ketidaktentuan ini.

Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada barangan import, Negara Brunei Darussalam juga berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi berbanding dengan kadar inflasi pada tahun sebelum penularan Covid-19.

Namun alhamdulillah, melalui usaha bersama pelbagai agensi kerajaan, kita masih sahaja mampu untuk menguruskan kadar inflasi di negara ini pada kadar yang rendah berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini.

Beta menyeru semua lapisan rakyat dan penduduk untuk memperkuat semangat dan determinasi kita dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Marilah kita sama-sama menggalas usaha dan memberanikan diri untuk melangkah lebih yakin ke hadapan.

Untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk, Beta telah memperkenankan bagi pelaksanaan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) pada 15hb. Julai 2023, untuk menggantikan Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP). Beta sukacita menegaskan bahawa SPK ini bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan kesejahteraan para ahli semasa persaraan nanti, malah skim ini juga akan memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik. Beta berharap semua pekerja, sama ada dalam sektor formal dan tidak formal untuk sama-sama membuat caruman SPK.

Sebagai bandingan, Skim TAP hanya mampu untuk menyumbangkan manfaat kewangan dalam kadar dan tempoh yang terhad sahaja sehingga umur 55 tahun, dimana selepas itu, sepanjang tempoh 5 tahun kemudian tidak akan menerima apa-apa lagi manfaat. Sementara manfaat SCP pula hanya baru akan diterima setelah mencapai umur 60 tahun untuk 20 tahun sahaja. Berbanding Skim SPK insya Allah, adalah menjanjikan jaminan lebih kukuh dimana para pesara akan menikmati pendapatan bulanan yang lebih baik dan malah akan menerimanya untuk “sepanjang hayat”, dalam makna Skim SPK tidak diragukan lagi adalah sama atau seakan-akan sama sahaja manfaatnya dengan Skim berpencen. Inilah kelebihan Skim SPK.

Pihak Kerajaan beta juga akan memperkenalkan gaji minima merentasi semua sektor industri bagi pekerja swasta secara berperingkat, selaras dengan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa. Beta ingin melihat semua pihak yang berkenaan, terutama sekali sektor perniagaan untuk menyokong inisiatif ini, kerana ia merupakan satu kemajuan ke arah mengukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Bagi memastikan terjaminnya kesejahteraan rakyat dan penduduk, Beta ingin melihat pihak-pihak yang berkepentingan akan lebih aktif mengkaji dan meningkatkan lagi tahap pencapaian masing-masing, selaras dengan penanda aras antarabangsa. Ini termasuk juga semua perkhidmatan Kerajaan Beta dan yang disediakan oleh sektor swasta seperti sumber bekalan elektrik dan sumber air. Ini semua adalah asasi untuk kelangsungan hidup dan aktiviti perekonomian.

Bagi sektor-sektor perniagaan, perdagangan dan pelaburan pula, Kerajaan beta telah menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memperluaskan lagi peluang di bawah sektor-sektor tersebut.

Beta berharap pihak-pihak berkenaan akan dapat memberikan penerangan secara berterusan kepada sektor perniagaan mahupun pihak-pihak yang berminat, khususnya para peniaga dan Dewan-Dewan Perniagaan, agar mereka mengetahui platform-platform yang ada di peringkat dua hala serta pelbagai hala, seperti Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (C.P.T.P.P); Regional Comprehensive Economic Partnership (R-CEP) Agreement; dan ASEAN FTA. Semua pihak di sini, perlu bekerjasama mengendalikan tadbir urus yang kukuh, untuk pertumbuhan ekonomi dan perniagaan  berdaya tahan.

Menyentuh isu pengangguran, kadar pengangguran pada masa ini berada pada tahap terendah sejak 10 tahun yang lalu. Kadar pengangguran pada penghujung tahun 2022 adalah sebanyak 5.2%, meningkat sedikit daripada 4.9% pada tahun 2021. Beta difahamkan bahawa pihak Manpower Planning Employment Council (M.P.E.C)  akan terus bekerjasama rapat dengan sektor perniagaan untuk mengenalpasti pekerjaan yang bersesuaian bagi tenaga kerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran.

Negara Brunei Darussalam juga perlu bergerak lebih cepat, dengan menggalakkan lebih banyak Foreign Direct Investment yang berkualiti untuk membantu mempelbagaikan ekonomi, dan dalam masa yang sama, menyediakan peluang pekerjaan dan ‘spin off’ untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana tempatan.

Mengenai Perubahan Iklim, Beta telahpun memperkenankan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP), yang menggariskan 10 strategi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membuka jalan bagi Negara Brunei Darussalam untuk ber-karbon rendah dan climate-resilient.

Negara Brunei Darussalam telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tahunan dan akan terus mengurangkan pelepasan  gas rumah hijau sebanyak 20% menjelang 2030, selaras dengan komitmennya di bawah Perjanjian  Paris dan telah berjanji untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, Warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.

Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan Khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.