Titah KDYMM Semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali Pertama bagi tahun 2023
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN
SA’ADUL KHAIRI WADDIEN
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI KEBANGSAAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-39
BAGI TAHUN 1444H/2023M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat pula meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali Ke-39 pada tahun ini.
Hari Kebangsaan adalah detik penting untuk diingati, kerana dengan mengingati itu, kita sekaligus akan teringat pula kepada pengorbanan dan usaha-usaha para pemimpin dan orang-orang terdahulu mencari jalan ke arah kemerdekaan.
Harga kemerdekaan sangat sukar untuk dinilai, kerana ia bukan benda jumud untuk dihitung dengan angka, tetapi ia adalah landasan untuk kita memperolehi sesuatu yang lebih baik. Misalnya melalui kemerdekaan, kita dapat menikmati apa yang belum pernah kita nikmati. Tidakkah ini satu pencapaian yang sangat hebat?
Kerana itulah, kemerdekaan wajar dipelihara untuk mewarnai kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Cara memelihara itu ialah dengan menunaikan kewajipan masing-masing secara telus dan sempurna, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua.
Sekarang menjadi kewajipan utama kita ialah untuk melihat matlamat Wawasan Negara terlaksana. Kita tidak dapat berlengah-lengah lagi atau goyang kaki, kerana masa cuma tinggal 12 tahun sahaja lagi untuk kita merealisasikannya. Kerana itu Kerajaan perlu memuktamadkan manpower dan social blueprint dalam masa terdekat sebagai arah tuju bagi setiap perancangan dan tindakan pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan.
Beta berharap blueprint-blueprint ini termasuk Economic Blueprint akan menjadi bahan rujukan kepada orang ramai terutamanya sektor swasta, badan bukan Kerajaan (NGOs) untuk merangka strategi dan pelan tindakan masing-masing.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai peneraju Brunei Darussalam Economic Blueprint sudahpun siap merangka peta-peta jalan industri bagi sektor industri permakanan; industri hiliran minyak dan gas; dan industri perkhidmatan maritim. Sementara peta-peta jalan berkaitan dengan industri teknologi maklumat dan infokomunikasi pula sedang giat dalam penelitian-penelitian dan penggubalan. Peta-peta jalan dalam sektor industri-industri utama ini adalah bertujuan untuk menambahbaik ekosistem dan juga industri-industri tempatan dapat membangun meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.
Manakala bagi mendokong Perniagaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (M.S.M.E), Kerajaan Beta juga sedang merangka dasar M.S.M.E bagi membantu mereka meningkatkan produktiviti masing-masing.
Beta ingin mengingatkan bahawa kemajuan yang mahu dicapai bukan tertumpu kepada membangun bangunan-bangunan untuk bermegah-megah, tetapi kemajuan yang lebih bermakna ialah seperti membina prasarana dan sistem yang membawa impak positif kepada rakyat dan penduduk, seperti juga kemajuan kepada sumber tenaga manusia, kita adalah mahu untuk melahirkan rakyat yang progresif, berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan.
Sehubungan itu, bidang pendidikan tidaklah dapat diabaikan. Kita perlu kepada rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran. Maka untuk itu Beta melihat, bahawa Kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) adalah perlu diperluaskan, dengan mengambilkira, betapa pentingnya kemahiran itu sebagai pemangkin pembangunan.
Mengenai bidang pendidikan juga, Beta melihat supaya Skim Pendidikan biasa dan ugama dapat bersatu di bawah pengurusan yang sama supaya tenaga para pendidik dapat diintegrasikan dalam waktu persekolahan, iaitu bagi memenuhi maslahat dan kemudahan para ibu bapa dan penjaga ketika menghantar dan mengambil anak-anak sekolah.
Turut sangat penting ialah penerapan ilmu ugama dan nilai-nilai murni sebagai pasak bagi mengukuhkan jati diri bangsa. Maka oleh itu, generasi muda yang merangkumi para penuntut dan belia mestilah sama-sama dibawa untuk mengenali dan menghayati ajaran-ajaran ugama.
Akhirnya, Beta sukacita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta, petugas dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 pada tahun ini. Tidak lupa juga diucapkan penghargaan kepada semua lapisan, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam dan luar negara, Pasukan-Pasukan Keselamatan, Para Sukarelawan termasuk Belia serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan do’a semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
UPACARA SOVEREIGN’S PARADE
PENGAMBILAN KE DUA PULUH SATU
SEKOLAH PEGAWAI KADET,
AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PADA HARI KHAMIS
04 REJAB 1444 / 26 JANUARI 2023
BERTEMPAT
PADANG KAWAD AKADEMI PERTAHANAN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KAMPUNG TANAH JAMBU
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Pujian dan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat hadhir di Upacara Sovereign’s Parade Pengambilan Ke Dua Puluh Satu (21), Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada pagi ini. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai-Pegawai Kadet di atas pertunjukan perbarisan yang penuh semangat sebentar tadi.
Seramai 64 orang Pegawai Kadet yang terdiri daripada 45 Lelaki dan 19 Wanita telah berjaya menjalani latihan Pegawai Kadet selama 48 minggu. Ini bererti, seramai 752 orang pemimpin tentera telahpun berjaya dilahirkan sejak penubuhan Sekolah Pegawai Kadet 14 tahun yang lalu. Beta turut berbangga di atas pencapaian ini, sambil tidak lupa merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para ibu-bapa dan penjaga diatas dorongan dan sokongan mereka untuk kejayaan latihan ini.
Pada pengambilan kali ini, Beta gembira dengan langkah meningkatkan kredibiliti dan kapasiti pembelajaran Sekolah Pegawai Kadet iaitu seperti yang dapat dilihat melalui penglibatan latihan luar negeri ke Republik Singapura seperti Joint Urban Operations bersama Singapore Armed Forces Training Institute-Military Institute (SAFTI-MI), yang buat pertama kalinya melibatkan semua perkhidmatan Pegawai Kadet Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Skop Sekolah Pegawai Kadet juga turut dikembangkan lagi penglibatannya dengan mengikuti International Army Cadet Week bersama Republik Rakyat China dan SAFTI-MI International Cadet Conference di Republik Singapura.
Dalam usaha untuk mengembangkan pembelajaran dan menghasilkan Pegawai Tentera yang berpengetahuan tinggi, maka Akademi Pertahanan memang perlu untuk membuat kolaborasi dengan universiti dan institusi pendidikan tentera, samada dari luar negara mahupun tempatan sebagai academic provider kepada Akademi Pertahanan. Selain bagi tujuan melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, komitmen seumpama ini juga adalah mampu untuk menaikkan lagi taraf akreditasi pendidikan Akademi Pertahanan sehingga sebanding dengan institusi pendidikan tentera luar negara.
Untuk melahirkan pemimpin tentera yang kredibel, RBAF Leadershif Model adalah memainkan peranan utama sebagai pembentuk watak atau karakter yang kita kehendaki. Kita hanya mahukan pemimpin-pemimpin yang berwatak atau berkarakter kebruneian semata-mata, dengan ditambah lagi memiliki sifat-sifat jujur, amanah, takwa, berani, setia dan profesional. Inilah Model Kepimpinan yang sangat-sangat didambakan oleh Brunei.
Berpandukan kepada Model Kepimpinan seperti inilah, insya Allah, tapisan pemilihan bagi bakal Pegawai ABDB di Sekolah Pegawai Kadet akan lebih terperinci lagi dilaksanakan, dengan mengambil kira juga standard pembelajaran dan mutu latihan hendaklah sentiasa ditahap yang tinggi dan tidak berkompromi dengan apa-apa jua perkara yang boleh menjejaskan mutu latihan.
Beta mengambil maklum, bahawa mulai Pengambilan Ke Dua Puluh Dua (22) pada tahun 2023 ini, Sekolah Pegawai Kadet buat julung kalinya akan menerima kemasukan Pegawai Kadet dari luar negara. Ini selain dapat meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan, kehadhiran Pegawai Kadet luar negara juga akan memberikan nilai tambah dan pengiktirafan terhadap Sekolah Pegawai Kadet kita sebagai setanding dengan Sekolah Pegawai Kadet luar negara.
Untuk akhirnya, Beta sekali lagi mengulangi ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Pegawai Kadet yang telah berjaya menamatkan latihan mereka. Beta juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada Komandan Akademi Pertahanan, Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Colour Sergeant dan Jurulatih Sekolah Pegawai Kadet diatas usaha mereka melatih dan mendidik Pegawai-Pegawai Kadet. Semoga Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang maju dan sentiasa didalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan ini mengurniakan Tauliah sebagai Pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada Enam Puluh Empat (64) Pegawai Kadet Pengambilan Kedua Puluh Satu (21).
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MENYAMBUT
TAHUN BARU MASIHI 2023
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta mengajak seluruh rakyat dan penduduk untuk sama-sama merafa’kan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki tahun baru Masihi 2023.
Mengimbas balik masa tiga tahun dalam menghadapi COVID-19, kita telah melihat, musibah ini, walaupun membawa kesan sampingan kepada kehidupan, namun hikmahnya telah menciptakan peluang untuk kita berdikari memperkasa bidang-bidang utama seperti sekuriti makanan, perbekalan, pendidikan, kewangan dan kesihatan.
Inilah hikmah yang tidak pernah terlintas difikiran kita, dan malah banyak lagi untuk kelangsungan hidup, termasuk membanyakkan amal salih, beribadat, berdo’a, bersabar dan bertawakal kepada Allah.
Demikian juga hikmah fizikal pandemik telah meningkatkan kapasiti kaedah digital, yang membolehkan semua pihak dapat menikmati perkhidmatan yang cekap dan cepat dalam bidang pekerjaan mahupun pembelajaran secara maya.
Akan lebih bermakna lagi jika pengalaman ini dapat menyuntik semangat rajin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi negara serta berganding bahu mewujudkan peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
Dengan adanya semangat sedemikian, akan mencetuskan minat besar para belia, khasnya untuk menceburi bidang-bidang baharu seperti big data, cloud computing, tenaga hijau (green energy) dan teknologi mesra alam (environmentally-friendly technology).
Kearah mencapai tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035, Kerajaan Beta sedang melaksanakan Economic Blueprint dan juga sedang merangka strategi melalui Social Blueprint dan Manpower Blueprint. Beta berharap, setiap strategi yang sedang dan akan dilaksanakan melalui blueprint-blueprint berkenaan akan mendapat dokongan padu daripada pelbagai stakeholders.
Sedia disedari, bahawa ekonomi negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kadar inflasi, yang turut didorong oleh ketegangan geopolitik di peringkat global. Ini, telah mendedahkan Brunei kepada cabaran pahit imported inflation yang membawa berlakunya kenaikan harga barangan di negara ini. Kadar inflasi telah meningkat dari 3.8 peratus kepada 4.7 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah direkodkan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Beta akan terus berusaha untuk meminimakan kesan kenaikan harga barangan dengan memastikan bekalan dan sekuriti makanan adalah stabil dan mencukupi.
Dalam memulakan tahun 2023, semua lapisan rakyat dan penduduk perlu bertekad untuk menjalani kehidupan bersih tanpa diganggu oleh gejala-gejala buruk seperti rasuah, pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan menagih dadah. Jika ini dapat dihindari, bererti satu kelebihan bagi Brunei.
Alhamdullillah, pada tahun 2022, Beta telah mengadakan beberapa siri keberangkatan keluar negara dan telah berhasil menandatangani beberapa perjanjian dan Memorandum Persefahaman dengan beberapa pertubuhan dan institusi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (P.B.B.); International Monetary Fund (I.M.F.); World Health Organization (W.H.O.) dan lain-lain. Semua ini dianggarkan dapat membantu perkembangan dan pengiktirafan profesionalisme sumber tenaga manusia.
Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, para barisan hadapan (frontliners) dan sukarelawan, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2022.
Beta juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Beta, sama ada dalam menangani wabak penyakit mahupun dalam mendokong agenda pembangunan negara.
Demikian juga di kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan. Kita akan terus memupuk dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat, khususnya dalam menangani isu dan cabaran serantau dan antarabangsa pasca COVID-19 dalam pemulihan ekonomi seperti perdagangan digital, kedayatahanan, perubahan iklim dan kesihatan am.
Selamat Tahun Baru Masihi 2023 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND
PADA:
24 JAMADILAWAL 1444 / 18 DISEMBER 2022
TEMPAT:
LONDON UNITED KINGDOM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.
Majlis ini sangat bermakna kerana ianya mencerminkan perpaduan erat yang dibina di kalangan penduduk dan rakyat Beta, dimanapun mereka berada, terutama setelah dunia bergelut dengan pandemik coronavirus. Alhamdulillah, kini Beta dapat bersua-muka dan mengetahui secara dekat perkembangan, kemaslahatan dan kesejahteraan para penduduk dan rakyat Beta, khasnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini.
Beta sedia maklum, bahawa para pelajar juga ada yang dijangkiti virus ini, dan Beta gembira mengetahui, keadaan mereka yang dijangkiti itu cuma ditahap ringan sahaja dan telah sembuh dalam tempoh yang singkat.
Dalam hubungan ini, Beta ingin mengingatkan, supaya para pelajar terus sahaja berjaga-jaga dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan, walaupun telah menerima vaksinasi sepenuhnya.
Beta memahami, bahawa COVID-19, sedikit sebanyak telah memberikan kesan ke atas pembelajaran dan proses penyelidikan para pelajar sekalian. Namun Beta tetap yakin, para pelajar akan terus cekal, tabah, gigih dan resilient dalam menempuh cabaran ini.
Perlu diingat oleh semua golongan pelajar, bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk memacu pembangunan negara, kerana pendidikanlah yang menentukan sumber manusia menjadi nadi penggerak kepada kemajuan. Kerana itu, Kerajaan Beta akan terus menyediakan peluang untuk para pelajar mengikuti pengajian melalui pelbagai skim biasiswa. Gunakan dan rebutlah peluang ini dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, disamping giat menimba ilmu, Beta juga tidak jemu-jemu mengingatkan, supaya para pelajar hendaklah terus peka memelihara identiti kebruneian dimana sahaja mereka berada. Kita ‘Orang Brunei’ tetap Orang Brunei dengan calaknya pula ialah MIB, Melayu Islam Beraja.
Supaya para pelajar tetap berhias dengan iman dan sifat takwa, maka Beta sangat menggalakkan supaya program bimbingan Al-Qur’an dan ugama yang dilaksanakan oleh pihak berkenaan bagi pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara. Ini penting, sebagai kewajipan melengkapi diri pelajar-pelajar dengan nilai-nilai seimbang, duniawi dan ukhrawi.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan, semoga semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini sentiasa dalam keadaan baik-baik belaka, sejahtera dan maju serta berada di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-32
PADA HARI SELASA
1 RABIULAWAL 1444 / 27 SEPTEMBER 2022
TEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat hadhir di Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 pada pagi ini. Di kesempatan ini, Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru di Negara Brunei Darussalam.
Tema Hari Guru pada tahun ini berbunyi: “Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan”. Pada hemat Beta, tema ini sangatlah relevan terutama sekali dengan keadaan global yang mengalami perubahan ketara, khusus akibat penularan COVID-19. Dunia telah mengharungi suasana amat mencabar dalam pengajaran dan pembelajaran yang belum pernah dialami sebelumnya. Semua ini memberikan impak signifikan kepada sistem pendidikan, termasuk kepada para guru di seluruh dunia.
Dalam hubungan ini, kita wajar bersyukur, kerana pendidikan di negara ini, masih dapat diteruskan, walaupun adanya kekangan dan rintangan. Semua ini mampu dilaksanakan dengan adanya para guru yang bersemangat kental. Beta sukacita mengucapkan terima kasih kepada mereka itu.
Brunei Darussalam, turut mengambil maklum bahawa World Bank telah menganggarkan hampir 1.6 billion kanak-kanak di seluruh dunia telah terkesan dengan penutupan sekolah, semasa beberapa gelombang pandemik melanda dunia selama lebih dua tahun yang lalu. Pada gelombang pertama, purata kehilangan pembelajaran para pelajar adalah selama lebih setengah tahun bagi tempoh penutupan sekolah selama 15 minggu. Sekiranya tiada sebarang intervensi dilaksanakan, maka kehilangan pembelajaran sudah tentu boleh membawa kesan negatif jangka panjang terhadap produktiviti dan kesejahteraan para pelajar.
Beta berharap Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus menggembling tenaga ke arah mengurangkan learning loss atau kehilangan pembelajaran, dengan melaksanakan program pemulihan yang bersesuaian.
Beta juga berharap agar kedua-dua Kementerian akan dapat meneliti kesan dan impak educational inequality ataupun ketidaksamaan pendidikan serta kaitannya dengan learning loss di kalangan kanak-kanak.
Beta yakin pengalaman semasa pandemik ini telah memaksa kita untuk melihat cara pengajaran norma baharu dan penggunaan teknologi. Secara tidak langsung, pengalaman ini juga membuka peluang inovasi dalam pendidikan, baik dari segi kurikulum, pedagogi pengajaran, teknologi pendidikan, penilaian, peperiksaan dan persekitaran sekolah.
Apabila sekolah kini telah dibuka sepenuhnya, maka kedapatan beberapa kaedah baru sebagai berkesan untuk diteruskan. Perlu diingat, adalah tidak mustahil krisis seumpama pandemik akan terjadi lagi dimasa akan datang. Oleh itu, mustahak bagi kita untuk sentiasa bersedia dengan membina sistem yang lebih berdaya tahan bagi menangani apa jua krisis yang melanda.
Bagi Kementerian Pendidikan adalah perlu fokus kepada menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua pelajar, dari peringkat awal pendidikan sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.
Para guru pula perlu diberikan dorongan padu oleh pihak Kementerian dengan memastikan professional development mereka terus diberikan perhatian.
Kesejahteraan para guru mesti diambil berat. Beta berharap dengan tertubuhnya Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar di Kementerian Pendidikan pada tahun 2021, isu kesihatan dikalangan tenaga pengajar akan dapat diberikan perhatian sewajarnya, dengan kerjasama pihak-pihak yang berkepentingan.
Kepada para guru, Beta menyeru supaya mereka sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat. Beta menganggap, para guru adalah pelopor budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Beta mengambil maklum bahawa beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memacu transformasi pendidikan di negara ini. Antara inisiatif tersebut ialah, penaiktarafan infrastruktur rangkaian info-teknologi sekolah-sekolah, pembekalan alat peranti dan data internet kepada semua para guru dan pelajar yang memerlukan. Semua ini adalah bertujuan untuk mendokong pembelajaran menggunakan teknologi, selaras dengan Pelan Transformasi Digital, Kementerian Pendidikan.
Di peringkat pendidikan teknikal dan pengajian tinggi, kita alhamdulillah telahpun mendapat pengiktirafan dan ranking peringkat dunia, yang ditafsir sebagai hasil pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan kita yang berkualiti. Beta berharap usaha akan terus dibuat untuk melahirkan rakyat yang future-proof. Sebagai way forward, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan merangka dasar dan pelan strategik bagi tujuan mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru, dan kepada para penerima Anugerah Hari Guru pula, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semoga penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat dan motivasi bagi seluruh warga guru.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.