Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1439H/2017M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
SEMPENA SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD
SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM
BAGI TAHUN 1439H / 2017M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Sambutan Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah salah satu perayaan yang tidak akan dilupakan untuk diperingati di negara ini. Kerana itu Beta sampai mengingatkan, supaya sebarang usaha untuk mempertikai atau memperkecilkan perayaan ini, eloklah ia dari awal-awal lagi ditangani dengan akta, bukan setakat dengan nasihat atau dakwah sahaja.

Tidaklah perlu untuk mengumpul sehingga banyak bukti mengenai orang-orang yang menolak tahlil, menolak talqin, menolak perayaan Maulid Ar-Rasul, menolak mengaminkan do’a imam dan lain-lain. Yang penting ialah, perkara ini memang sudah berlaku. Kalau di tempat kita ini, ia mungkin hanya kadang-kadang berlaku, tetapi di setengah tempat lain, perkara ini sudah pun jadi tengkarah yang lumrah.

Jadi, menggubal akta mengenainya memanglah sesuai, sekurang-kurangnya sebagai persiapan kita untuk menghadapinya.

Tema sambutan kita pada tahun ini berbunyi: “Rasulullah: Qudwah Kepimpinan Yang Adil”. Memang tidak diragukan lagi, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan yang paling unggul melaksanakan keadilan.

Baginda tidak pernah melakukan sebarang kezaliman, sehingga pernah bersabda, maksudnya: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong jua tangannya”.

Inilah gambaran keadilan Rasulullah. Dalam sejarah, tiada siapa pun yang pernah dizalimi oleh Baginda. Semua orang menikmati keadilan daripada Baginda, walaupun golongan musyrik yang memusuhi Baginda.

Inilah maknanya usaha Baginda mengembangkan Islam sangat berjaya, kerana melalui keadilan itu, hati manusia mudah terpikat kepada Islam yang dibawa oleh Baginda.

Inilah rahsia keadilan apabila ia dilaksanakan. Allah tidak akan menghampakan sesiapa jua yang bekerja untuk keadilan.

Dalam zaman yang penuh bergolak ini, kita biasa mendapati keadilan itu dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Setengah mereka terlalu kejam, merampas kebahagiaan orang lain dengan kezaliman.

Perbuatan ini amatlah terkutuk, hanya menunggu sa’at sahaja lagi untuk dibalas oleh Allah.

Di Negara Brunei Darussalam, kita tidak membenarkan kezaliman berlaku. Kita pantangkan ia berlaku. Sesungguhnya di bumi bertuah ini, kezaliman tidak ada tempat untuknya. Ia adalah musuh kita. Kita tidak mampu untuk berkompromi dengannya.

Kezaliman biasanya dilakukan oleh pihak-pihak yang kuat atau berkuasa, termasuklah dalam dunia pekerjaan atau perkhidmatan. Kerana itu, Beta berkewajipan untuk mengingatkan, supaya sesiapa jua yang dititipkan dengan jawatan atau kuasa, tidak akan menggunakan jawatan atau kuasa itu untuk menzalimi orang lain.

Kezaliman yang paling dahsyat ialah ‘fitnah’: fitnah ke atas orang-orang yang tidak berdosa. Seyugia diingat, fitnah mestilah dijauhi oleh sesiapa saja yang ingin selamat.

Beta mahu, Brunei kita, mestilah bersih dari sebarang gejala fitnah dan kezaliman. Inilah saja modal kita untuk selamat. Allah Subhanahu Wata’ala pasti memberkati negara dan kerajaan yang adil.

Bersempena dengan memperingati Maulid Ar-Rasul Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini, maka marilah kita sama-sama memasang azam untuk benar-benar menghayati tema sambutan, tentang keadilan Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Biarlah tema ini tidak hanya untuk dibaca atau disebut sahaja, tetapi yang penting, menjadikannya sumber ilham bagi kita untuk mencontohi Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara mengamal dan menjalankan keadilan itu.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-24

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

BERSEMPENA
HARI PERKHIDMATAN AWAM  KALI KE-24,
TAHUN 1439 HIJRAH / 2017 MASIHI

PADA HARI RABU
03 RABIULAWAL 1439 / 22 NOVEMBER 2017

BERTEMPAT
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24.

Perkhidmatan Awam adalah nadi utama yang menentukan kemajuan dan keutuhan sesebuah negara.

Kerana itu, Beta sentiasa mengikuti perkembangan prestasi dan situasi Perkhidmatan Awam dari sudut perkhidmatannya.

Maka dalam hubungan ini, Beta sukacita mengambil maklum bahawa Jabatan Perdana Menteri sebagai agensi utama dalam memimpin Perkhidmatan Awam sedang giat melaksanakan Rangka Kerja Perkhidmatan Awam itu.

Salah satu transformasi yang telah dikenalkan mulai 1 Oktober 2017 ialah Sistem Pengurusan Prestasi Baru bagi semua warga Perkhidmatan Awam. Matlamat utamanya adalah jelas, iaitu untuk membolehkan penilaian hasil kerja setiap pegawai dan kakitangan adalah adil, telus dan objektif serta mencerminkan sumbangan sebenar masing-masing.

Pada hemat Beta, memang sesuai sistem penilaian memberikan tumpuan kepada Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) di samping Penilaian Kompetensi. Dalam hal ini, Beta menyeru setiap warga Perkhidmatan Awam untuk benar-benar mengambil serius dalam melaksanakan Sistem Penilaian Prestasi baru ini mengikut garispandu yang telah ditetapkan.

 

Beta percaya sistem baru ini juga akan lebih menyumbang kepada produktiviti dan daya saing dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti serta menggalakkan inovasi sebagai budaya kerja.

Menyebut mengenai inovasi, warga Perkhidmatan Awam, tidak boleh tidak, perlu menjana idea-idea baru bagi memacu penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Disinilah pemimpin-pemimpin Perkhidmatan Awam dari peringkat Setiausaha Tetap, Ketua Jabatan malahan peringkat Ketua Unit perlu memainkan peranan mereka dalam melakukan rebiu semula ke atas tatacara atau proses pemberian perkhidmatan.

Beta percaya kejayaan akan lebih menyerlah lagi apabila berlaku penyertaan yang meluas dari seluruh lapisan Perkhidmatan Awam. Budaya inovasi ini juga boleh menjadi penggalak kepada pelaburan asing bagi kemanfa’atan ekonomi.

 

Bercakap mengenai ekonomi, Alhamdulillah, usaha Kerajaan ke arah penambahbaikan pada setakat ini, telah pun menampakkan tanda-tanda positif.

Baru-baru ini, Laporan Bank Dunia mengenai Ease of Doing Business bagi tahun 2018 telah menyatakan kedudukan negara sebagai terus meningkat kepada 56 anak tangga dari kedudukan 105, tiga tahun sebelum ini. Negara kita jua terus diiktiraf sebagai satu ekonomi yang paling meningkat atau most improved dalam melaksanakan reformasi bagi tiga tahun berturut-turut. Lebih membanggakan lagi, satu petunjuk iaitu ‘Getting Kredit’ telah meraih tangga kedua tertinggi di dunia.

Pencapaian yang menggalakkan ini adalah bukti jelas keberkesanan kepimpinan dan pendekatan ‘whole-of-nation’. Beta yakin, persekitaran perniagaan di negara ini akan dapat dipertingkatkan lagi sehingga mencapai anak tangga 20 teratas atau “Top-Twenty” yang disasarkan.

Bagaimanapun, pada hemat Beta, semua inisiatif yang disusun di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam tidak akan sempurna tanpa mengambil kira faktor-faktor kerohanian, akhlak dan etika bagi warga Perkhidmatan Awam.

 

Warga Perkhidmatan Awam yang baik ialah mereka yang berkhidmat dengan jujur dan amanah, bukan yang cekap tetapi curang. Kecekapan tidak akan bernilai apa-apa jika ia digunakan untuk menganiaya manusia. Kalau siapa diberikan kuasa, maka kuasa itu adalah amanah, tidak boleh digunakan sewenang-wenang, seperti untuk kepentingan diri sendiri atau untuk menjejaskan orang lain, sekalipun yang terjejas itu hanya sekadar ‘nama baik’ sahaja.

Ini adalah penting. Beta tidak mahu di dalam Perkhidmatan Awam ada orang yang menyalah-gunakan kuasa, atau tukang-tukang cipta fitnah. Ini semua, tidak mendatangkan sebarang kebaikan, melainkan sebaliknya banyak mengundang kepada keburukan. Perkhidmatan Awam mesti bersih daripada semua ini, barulah negara dan Kerajaan akan beroleh berkat.

Beta pernah mendorong supaya mengamalkan semangat berpasukan, lebih-lebih lagi bagi warga Perkhidmatan Awam, kerana kerja-kerja yang dibuat secara berpasukan itu boleh mendatangkan lebih kebaikan. Tetapi apabila disebut berpasukan, ia bukanlah satu “pakatan”, dalam makna komplot atau kronisme. Komplot atau kronisme biasanya mempunyai ketua untuk mengontrol ahli-ahli kumpulan berkenaan, tetapi pasukan bukan begitu. Sifat pasukan adalah semata-mata muafakat dan mesyuarat.

Semua ini perlu dibezakan.

Akhirnya, Beta dengan besar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan pemenang-pemenang Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang Perkhidmatan Awam. Beta berharap anugerah-anugerah ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada semua warga Perkhidmatan Awam untuk mempertingkatkan lagi tahap kecemerlangan perkhidmatan.

Beta juga tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang bersara pada tahun ini di atas sumbangan dan jasa bakti mereka semasa dalam perkhidmatan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua, yang akan membalas pengorbanan mereka itu dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Perasmian Majlis Ilmu 2017 Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-71 Tahun

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

PERASMIAN MAJLIS ILMU 2017
SEMPENA HARI ULANG TAHUN
KEPUTERAAN YANG KE-71 TAHUN

PADA HARI SELASA
18 SAFAR 1439 / 07 NOVEMBER 2017

BERTEMPAT
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita hadir dan berkumpul di Majlis Ilmu pada pagi yang mubarak ini.

Beta sangat gembira, kerana Majlis Ilmu diungkayahkan pada ketika, negara masih saja dalam suasana meraikan sambutan Jubli Emas Beta menaiki Takhta.

Pada tahun ini, Majlis Ilmu memaparkan tema: “Mensyukuri Kepimpinan, Terutama Perkhidmatan Ugama, Sepanjang 50 Tahun Pemerintahan Beta”.

Beta juga difahamkan, bahawa satu ‘Ceramah khas’ akan disampaikan, bertajuk: “Pemerintahan Raja Yang Salih Membawa Berkat”.

Tidak syak lagi, majlis ini akan mendepani usaha, untuk mencari tafsiran tepat siapakah raja, apa tugas dan peranan serta kesan daripada tindak-tanduk raja?

Semua ini akan jadi tugas dan tanggungjawab para ilmuan juga untuk memberikan perspektif yang sahih.

Tugas ini bukanlah ringan, malah berkehendakkan para ilmuan yang benar-benar ahli serta amanah.

Bercakap mengenai kepimpinan, ia adalah berkait rapat dengan ilmu. Tanpa ilmu, kepimpinan boleh saja pincang. Mengapakah begitu? Kerana bukankah ilmu itu ‘pelita’? Cubalah bayangkan kalau kita berjalan di dalam gelap tanpa pelita?

Kerana itu, Beta sangat teruja, dengan Majlis Ilmu ini dapat diadakan pada setiap tahun, yang disempenakan dengan Hari Keputeraan Beta. Banyaklah ilmu yang boleh dikaut daripada majlis ini.

Dunia kini penuh dengan cabaran. Diantara cabaran yang sering-sering menggugat ialah cabaran dalam amalan berugama. Ia silih berganti, seperti saja tidak ada kesudahannya.

Dalang yang membawa cabaran, sangat suka menghambur-hamburkan pendapat, seperti memburuk-burukkan amalan bertahlil, menolak ziarah kubur, mempertikai sambutan Maulid Ar-Rasul, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas dan lain-lain, dengan alasan, semua itu tidak dibuat oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka ini tidak mahu mendengar penerangan-penerangan oleh para ‘Ulama, kecuali terus saja berdegil dengan pendapat dan pendirian mereka.

Ini tidak boleh dibiarkan untuk terus berleluasa. Walaupun kita sudah berusaha dengan pelbagai cara, melalui dakwah dan nasihat, untuk memberhentikan amalan dan pendapat yang menyalahi kebiasaan ini, namun masih saja kedengaran ia berlaku, dilakukan oleh pihak-pihak yang degil itu.

Pada hemat Beta, ada eloknya perkara ini ditangani secara undang-undang dengan menyediakan peruntukkan di bawah akta bersesuaian, untuk menyekat sama sekali pendapat atau amalan songsang menolak tahlil, mempertikai sambutan Maulid Ar-Rasul, ziarah kubur, membaca Al-Qur’an sebelum memulakan tugas dan lain-lain seumpamanya.

Hanya dengan cara ini sahaja, semua di’ayah untuk mempengaruhi atau mengganggu-gugat keharmonian berugama di negara ini dapat disekat dengan berkesan.

Kita tidak mampu untuk membiarkan sesiapa jua untuk membawa atau mengimport sebarang ajaran yang boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Inilah azam dan pendirian kita yang tidak dapat dikompromi sama sekali. Kita akan tetap dengan pendirian ini.

Aliran akidah yang kita pegang, ialah aliran Ahli Sunnah Waljama’ah. Tidak sesiapapun yang boleh melangkahinya. Ia telah pun dikanunkan dalam Perlembagaan sebagai dasar muktamad kita.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL
KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KETUJUH
KOLEJ UNIVERSITI PERGURUAN UGAMA SERI BEGAWAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 1439H/2017M

PADA HARI RABU
05 SAFAR 1439 / 25 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan ‘inayah-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadhir di Majlis Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada pagi yang mubarak ini.

Dengan rasa bangga yang mendalam, Beta sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing di KUPU SB. Para graduan perlu bersyukur dengan kejayaan ini, kerana ia diperolehi melalui hidayat dan pertolongan Allah disamping sedikit usaha daripada kita sendiri.

Para graduan mustahak sedar, bahawa profesion keguruan adalah sangat mulia. Guru berperanan penting dalam pembentukan masyarakat dan pembangunan negara. Sebagai pembentuk dan pembangun itu, warga guru mesti mempunyai semangat juang yang tinggi serta idea-idea besar untuk perubahan. Tanpa semangat dan idea besar, sebarang perubahan adalah sukar untuk dicapai.

Para graduan perguruan ugama adalah juga agen masyarakat untuk membantu menjelaskan hala tuju serta program-program kebangsaan dari masa ke semasa. Mereka turut berperanan untuk membetulkan keadaan menurut lunas-lunas ilmu ugama yang suci.

Ilmu ugamalah pembentuk cara berfikir terbaik untuk diterapkan ke dalam kehidupan. Jika cara ini, maka itulah asas untuk negara beroleh kebajikan dan berkat. Adapun kebajikan paling bermutu ialah negara sentiasa berada selamat. Firman Allah Ta’ala dalam surah Hud ayat 117 tafsirnya:

“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah orang-orang yang berbuat demikian.”

Maka sehubungan ini, KUPU SB dan institusi pengajian tinggi yang lain, amat perlu untuk menyediakan pengalaman-pengalaman berfikir yang kritis, supaya para  graduan mampu untuk menerapkan kebajikan bagi masyarakat dan negara.

Negara sangat memerlukan disiplin-disiplin yang bermanfaat untuk pembangunan modal insan. Adalah tidak memadai, kita belajar hanya untuk ilmu, tetapi ilmu mesti dipelajari untuk jadi pelengkap.

Setiap pusat pengajian tinggi hendaklah sentiasa menilai program yang ditawarkan, supaya kandungan kurikulumnya tetap relevan dan praktis dengan keperluan-keperluan semasa. Ini termasuklah kaedah pengajaran dan penilaian perkembangan pelajar.

Dalam konteks ini juga, pusat pengajian tinggi perlu untuk memastikan staf akademiknya memiliki ciri-ciri profesional yang tinggi, yang mampu menghidangkan pendekatan-pendekatan yang efektif dan inovatif serta dapat pula membuat penilaian perkembangan pelajar secara holistik dan saksama.

Beta mengambil maklum, bahawa KUPU SB telah menyediakan beberapa kompetensi dalam usaha melahirkan graduan pendidik yang berjati diri. KUPU SB juga sedang giat memantapkan program-program bagi mencapai kompetensi berkenaan.

Usaha ini sangatlah wajar dan bagus. Namun kaedah penilaian mestilah juga kemas dan sistematik, supaya para graduan benar-benar mencapai kualiti kompetensi yang diharapkan.

Pendeknya, semua pusat pengajian tinggi, perlu bergerak mengemaskan program dan kokurikulum masing-masing, supaya dapat melahirkan para graduan yang seimbang dan holistik dari aspek-aspek kerohanian, intelek, jasmani, keusahawanan dan kemasyarakatan.

Khusus seperti KUPU SB dan UNISSA, mereka ini adalah sangat menunggu para calun daripada Sekolah Arab. Lepasan daripada Sekolah Arablah yang merupakan calun-calun utama untuk KUPU SB dan UNNISSA. Oleh itu, objektif melahirkan lepasan-lepasan Sekolah Arab, perlulah serba lumayan, bukan sahaja lumayan kuantiti, tetapi lebih-lebih lagi lumayan kualiti.

Dalam makna, ibarat kilang, Sekolah Arab adalah sangat perlu untuk menghasilkan bahan produknya yang berkualiti. Kerana itu, Beta tidak jemu-jemu untuk mengingatkan, supaya Sekolah Arab mestilah terus diperkasa. Mana-mana yang kurang ditambah, atau yang kurang bagus diperbagus, atau yang masih lemah diperkuat, sehingga sekolah ini benar-benar jadi unggul dan ternama.

Ini bukan mustahil, tetapi sesuatu yang mampu untuk dibuat, jika kita benar-benar gigih dan bekerja dengan penuh azam.

Untuk akhirnya, Beta sukacita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga KUPU SB, terutama kepada pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, ahli-ahli akademik serta kakitangan Kolej Universiti atas segala sumbangan dan khidmat yang mereka berikan. Semoga semua amal kebajikan yang telah diberikan adalah diterima oleh Allah. Marilah kita berdo’a semoga KUPU SB menjadi sebuah pusat pengajian yang berkat dan diredhai Allah serta dapat mencapai matlamat penubuhannya, Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM Sempena Majlis Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Kali Ke-8 Tahun 1439 / 2017

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI
WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
DI MAJLIS MUSABAQAH TILAWAH
AL-QUR’AN BELIA ASIA TENGGARA KALI KE-8
TAHUN 1439/2017

PADA HARI KHAMIS
07 SAFAR 1439 / 26 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Terlebih dahulu Beta mengucapkan selamat datang kepada para belia dari negara-negara ASEAN yang menyertai Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi. Khusus kepada peserta baru Timor Leste, Beta menghulurkan salam muhibbah dan selamat maju jaya dalam bidang ini.

Beta seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara bagi tahun 1439 / 2017 dan juga kepada semua peserta lain yang telah menunjukkan semangat perpaduan ASEAN.

Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asia Tenggara, tidak syak lagi, adalah satu langkah ke arah menggalakkan aktiviti dan interaksi sosial yang sihat di kalangan para belia. Ia juga dapat menyifatkan sebagai perkongsian kerjasama antara kerajaan untuk membina generasi belia.

Pertemuan para belia di musabaqah ini mampu untuk meningkatkan jaringan interaksi serantau antara masyarakat belia. Iaitu juga boleh menyumbang kepada perpaduan ummah secara menyeluruh.

Generasi belia adalah merupakan sumber tenaga besar negara-negara ASEAN. Dengan bilangan mereka berjumlah 211 juta, menjadikan mereka berupaya untuk menggerakkan pembangunan dalam negara masing-masing. Kejayaan menggembeling tenaga belia akan menambahkan lagi kekuatan dan ketahanan negara.

Hasrat Beta mengetengahkan Musabaqah Tilawah Al-Qur’an Belia Asian Tenggara ini adalah untuk melihat para belia ASEAN turut memiliki peribadi Al-Qur’an. Maksud Beta dengan peribadi Al-Qur’an ialah akhlak mulia mengikut calak Al-Qur’an. Semua ini orang Islam dikehendaki untuk memiliki akhlak Al-Qur’an.

Menerusi Dasar Belia Negara, kita juga menitikberatkan peningkatan ilmu pengetahuan. Kerana ilmu adalah tonggak bagi pembangunan. Tanpa ilmu, pembangunan tidak mungkin dapat dilaksanakan. Ini juga sangat perlu kepada belia.

Maka ke arah ini, generasi belia perlu celik teknologi terkini, kemahiran teknik dan vokasional serta mempunyai basic keusahawanan selaras dengan kehendak pembangunan negara. Beta juga menggalakkan supaya generasi belia menyertai organisasi atau aktiviti sukarela yang dapat memupuk gaya hidup yang sihat, cergas dan dinamik. Amalan ini tidak diragukan lagi dapat menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti.

Persoalan kualiti disini tidak saja menyangkut perkara luaran, tetapi juga turut menyangkut perkara yang lebih penting lagi, iaitu pemikiran sikap dan kebolehan.

Dari senario inilah golongan muda itu dapat dinilai, sama ada berkualiti atau sebaliknya. Namun kita tetap percaya, bahawa mereka memang benar-benar berkualiti serta menjadi harapan bangsa yang sangat bernilai.

Ugama Islam memang mahu umatnya berkualiti dan kaya dengan nilai. Nilai yang dikehendaki oleh Islam itu, paksinya adalah ‘akhlak yang mulia’. Dari akhlak yang mulia inilah lahirnya segala sifat terpuji, seperti ta’at berugama, setia kepada ulil amri, cinta kepada negara, amanah, ikhlas dan ihsan. Inilah akhlak yang disuruh kita memakainya oleh Islam.

Semoga para belia dan malah kita semua diizinkan oleh Allah untuk dapat memiliki akhlak yang mulia ini.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Titah KDYMM di Majlis Haflut Takharruj Ke-7 Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi Tahun 1439H/2017M

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

 

DI MAJLIS
HAFLUT TAKHARRUJ KE-7 UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
BAGI TAHUN 1439H/2017M

PADA HARI ISNIN
25 MUHARRAM 1439 / 16 OKTOBER 2017

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berhimpun di Majlis Haflut Takharruj kali ke-7, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Mula-mula Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan kerana telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Begitu juga, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas pengorbanan mereka, sehingga mampu untuk melahirkan para graduan yang berjaya.

Seperti sama-sama dimaklumi, UNISSA pada tahun ini meraikan usianya yang ke sepuluh tahun. Sepanjang tempoh berkenaan UNISSA telah meraih banyak pencapaian sebagaimana dihasratkan.

Sesuai dengan usianya yang semakin matang, Beta berharap, UNISSA akan terus menyerlah selaku mercu tanda kegemilangan Islam di negara ini. Ini bermakna UNISSA perlu, untuk terus berkembang sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa.

Maka sehubungan ini, Beta gembira mengetahui bahawa Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat UNISSA telah memulakan operasinya. Beta melihat, pusat ini mampu untuk jadi pemangkin kepada pengayaan ilmu dan pemerkasaan kemahiran semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia.

Disamping itu, pusat ini juga tentu berupaya untuk memantapkan lagi profesionalisme para penjawat awam dengan menawarkan pelbagai kursus kepada mereka.

Disini, UNISSA perlu menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Untuk itu, Beta menyambut baik inisiatif UNISSA dalam meningkatkan kualiti pengajian, penyelidikan  dan urus tadbir serta penawaran program dan kursus-kursus baru yang bersesuaian.

Beta optimis dengan perkembangan ini, ditambah lagi dengan kestabilan sosiopolitik negara, akan menjadikan UNISSA lebih berpotensi untuk menarik lebih ramai lagi pelajar dari dalam dan luar negara, dan sekali gus menjadikan UNISSA sebagai hab pusat pengajian Islam di rantau ini.

Ikhtiar ke arah ini tidak syak lagi akan membuka peluang lebih luas untuk meningkatkan kebolehpasaran lulusan UNISSA. Sesungguhnya dengan pendedahan kepada pelbagai bidang ilmu dan kemahiran, pelajar UNISSA juga mampu untuk menjadi lulusan yang serba boleh, yang boleh berkhidmat di pelbagai sektor, termasuk juga menjadi usahawan yang berjaya.

Faktor inilah yang menjadikan UNISSA semakin dikenali di peringkat global serta menjadi idaman ramai pelajar-pelajar serantau dan antarabangsa untuk menjadikannya tempat pengajian mereka. Peningkatan kemasukan dan permohonan pelajar-pelajar antarabangsa pada setiap tahun ke UNISSA adalah petanda, bahawa UNISSA mempunyai keistimewaan tersendiri di mata luar. Beta turut mendokong usaha UNSSA untuk menarik balik lebih ramai pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian mereka di UNISSA sebagai salah satu sumbangan Kerajaan Beta kepada pembangunan ummah sejagat.

Akhirnya, Beta mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat, Rektor, Pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.