Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Yang Ke 65

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI  YANG KE 65

PADA HARI AHAD

14 ZULHIJJAH 1447 / 31 MEI 2026

 

BERTEMPAT DI PADANG KAWAD TENTERA UDARA DIRAJA BRUNEI PENGKALAN TENTERA UDARA, RIMBA

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadir pada pagi ini untuk meraikan Upacara Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke Enam Puluh Lima (65) Tahun.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas Beta ucapkan, di atas perbarisan yang sangat bermutu sebentar tadi.

Alhamdulillah, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah banyak mencapai perkembangannya, baik dari segi saiz organisasi mahupun dari segi keupayaannya.

Sehubungan itu, Beta mengambil maklum mengenai pelancaran Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini. Ia adalah satu langkah strategik yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan perancangan pertahanan negara terus disesuaikan dengan perkembangan geopolitik serantau dan global.

Selaras dengan hala tuju strategik yang digariskan melalui Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 dan Gagasan Angkatan 2035 yang didokong oleh dokumen penting: Force Structure Review, Defence Posture dan Capability Development Plan, Beta gembira mengambil maklum bahawa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang dengan tertubuhnya beberapa unit baharu yang akan meningkatkan lagi kewibawaan dan keupayaan ABDB. Bagi Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Beta telah memperkenankan penubuhan Pusat Latihan Gabungan Tempur (PULGAT) yang menggabungkan kesemua cawangan latihan bagi kompetensi operasi TDDB di bawah satu pemerintahan.

Dalam memperkukuhkan lagi interoperabiliti, di peringkat Operasi Khas Bersama yang bersejarah, Beta sukacita memperkenankan penubuhan Markas Operasi Khas (Special Operations Command) sebagai Pusat Perintah dan Kawalan yang akan menyelaras operasi khas di antara Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB selaku Pasukan Tier 1 bersama Pasukan Khas Tier 2 di unit-unit ABDB iaitu Pasukan Komando – Tentera Darat Diraja Brunei, Skuadron Geras Khas Maritim – Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Khas – Tentera Udara Diraja Brunei yang akan berkuatkuasa mulai pada hari ini.

Selaras dengan pendekatan pertahanan yang komprehensif, dari sudut Diplomasi Pertahanan, pada tahun ini yang amat signifikan dengan sambutan Jubli Emas ialah hubungan pertahanan di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Bersenjata Republik Singapura. Dalam hal ini, Beta sukacita mengambil maklum beberapa aktiviti dua hala telah dan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama Angkatan Bersenjata Republik Singapura sebagai acara kemuncak. Pada masa yang sama juga, hubungan pertahanan dengan negara-negara sahabat yang lain, baik yang dekat mahupun jauh, Beta terus menyarankan untuk sentiasa dipertingkatkan dan diperkukuhkan.

Dari Sudut keupayaan ini ketenteraan pula, baru-baru ini Tentera Udara Diraja Brunei telah menerima dua (02) buah pesawat angkut C295MW terakhir yang melengkapkan penerimaan sebanyak empat (04) buah pesawat angkut, bertepatan dengan menjelangnya sambutan Jubli Intan Penubuhan Tentera Udara Diraja Brunei pada bulan Jun tahun ini. Seterusnya pada penghujung tahun ini, TUDB juga akan menerima batch pertama helikopter H-145M yang akan menggantikan pesawat Bolkow BO-105 yang telah dinyahtauliahkan. Manakala pada awal tahun depan, Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dijangka akan menauliahkan sistem Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance (C4 – ISR) yang ketika ini sedang giat dinaiktaraf.

Segala pencapaian ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa adanya dedikasi dan komitmen tinggi di seluruh peringkat kepimpinan. Beta menghargai dan berbangga di atas pencapaian-pencapaian positif ini.

Dalam hubungan ini, Beta juga sangat gembira atas kehadiran dan keterlibatan anggota Veteran dan Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) pada pagi ini yang setentunya menunjukkan semangat dan komitmen berterusan mendokong ABDB ke arah kecemerlangan.

Akhirnya, Beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang ke-65 kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara, sama ada berada di dalam atau sedang bertugas di luar negara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini dan semua yang terlibat dalam menjayakan perbarisan pagi ini. Beta turut mendo’akan supaya Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

***

Titah Perutusan KDYMM Sempena Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1447H / 2026M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA

TAHUN 1447H / 2026M

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

‘Idil Adha adalah syi’ar agung ugama kita, kerana ia merujuk kepada peristiwa besar dua beranak menunaikan perintah Allah, sekali pun perintah itu sangat berat untuk dilaksanakan.

Dua beranak tersebut ialah Nabi Ibrahim dan putera baginda Nabi Ismail ‘Alaihimassalam. Mereka diuji oleh Allah, untuk Nabi Ibrahim menyembelih putera baginda, Nabi Ismail.

Dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 102, Nabi Ibrahim berkata kepada puteranya Nabi Ismail: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Menjawab Ismail: “Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepada ayah, insya Allah, ayah akan mendapati saya daripada orang-orang yang sabar”.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Demikian gambaran yang sangat mengharukan bagaimana patuhnya dua beranak ini menjunjung titah perintah Allah.

Ini adalah pengajaran sepanjang zaman untuk kita umat Islam. Ia bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi inti patinya adalah untuk diambil sebagai tauladan.

Diantara tauladan yang disuruh kita membuatnya ialah dengan menyembelih binatang korban. Sama ada korban wajib atau korban sunat, semuanya itu adalah bukti keta’atan yang sangat bermakna. Allah tidak akan mensia-siakannya.

Oleh itu, bagi siapa yang mampu, marilah kita sama-sama melakukan korban, untuk meraih ganjaran pahala di akhirat kelak.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sa’at yang penuh berkat ini, Beta dengan tulus ikhlas turut mendo’akan para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci, semoga mereka berada dalam keadaan yang serba mengizinkan, sehingga dapat menunaikan ibadat dengan lancar dan sempurna serta beroleh Haji yang Mabrur.

Untuk mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada, dengan iringan do’a, semoga kita semua berada dalam sihat ‘afiat, riang gembira, murah rezeki, dapat menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawadhuk untuk mendapatkan redha Allah dan keberkatan daripadaNya.

 Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***